Sabtu, 24 Mac 2012

Hubungan Pemimpin dan Pengikut







HUBUNGAN PEMIMPIN DAN PENGIKUT

Merikan Aren
mbarsu64@yahoo.com

 Setiap organisasi mestilah mempunyai pemimpin, pengikut dan juga  matlamat. Pemimpin dan kepimpinan serta orang yang menjadi pengikut dalam sesuatu organisasi  memainkan peranan penting bagi memastikan kejayaan matlamat. Tanpa kerja sama di antara kedua pihak ini organisasi sudah tentu tidak akan berjaya mencapai matlamat. Oleh yang demikian pengaruh pemimpin dan kepimpinannya menjadi tunggak untuk menentukan sama ada pengikut atau orang bawahan akan menjalankan tugas dengan baik selaras dengan kehendak organisasi. Jadi bagaimana pemimpin dapat menguasai pengikutnya bergantung kepada daya pengaruhnya. Jika seseorang pemimpin mempunyai pengaruh yang tinggi dan kuat maka amat mudah baginya mempengaruhi pengikutnya untuk menjalankan tanggungjawab mereka dan seterusnya menghasilkan sesesuatu yang disasarkan seperti matlamat organisasi.
Oleh itu, peranan ketua dalam menjalinkan hubungan dengan pengikut adalah amat penting. Heath (2010) menyatakan pemimpin yang baik ialah mereka dapat memilih pasukan yang boleh menjadi pengikut kerana untuk menjadi ketua atau pemimpin yang baik seseorang ketua harus ada pasukan yang mantap di sekelilingnya. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan pasukan itu haruslah dinamik, fokus dan dapat melahirkan sesuatu. Justeru persekitaran organisasi juga memainkan peranan penting dalam menentukan keharmonian, kesejahteraan dan kekuatan sesuatu organisasi tersebut.
Pengalaman saya sebagai penjawat awam, dalam urusan kenaikan pangkat sebagai ketua kadang-kala adalah berdasarkan kepada pengetahuan, pengalaman dan kelayakan akademi sahaja tanpa mengira kredibiliti seseorang iaitu dalam kerja, hubungan sesama rakan dan komunikasi. Selalunya syarat kenaikan pangkat berdasarkan tahap kecekapan yang diuji berdasarkan kepintaran minda yang kadang kala tidak boleh dipraktikan ke dalam situasi yang sebenar. Inilah menjadi bahan percakapan pengikut atau orang bawahan apabila ketua tidak boleh buat kerja, apa yang ketua mampu lakukan hanya mencari kesalahan orang lain iaitu pengikutnya dan memberi arahan tanpa usul periksa dan menilai kemampunan seseorang individu yang diperintahkan menjalankan tugas tersebut. Inilah merupakan factor kegagalan tugas yang diarahkan kerana mereka menjalnkan tugas tiada kemampuan untuk menjalankan tugas. Selain itu, kerana ketidakpuasan terhadap ketua maka wujudlah puak-puak penentang atau pembangkang dalam organisasi yang sentiasa juga mencari kesalahan ketua untuk dijadikan bahan agar pengikut lain tidak melaksanakan tugas dengan sempurna atau dijadikan alas an atas sebab kegagalan sesuatu tugasan.
Mengikut Chaleff (2002) mengatakan kita tidak akan memahami ketua kita sehinggalah kita berada ditempat di mana kita berada. Situasi di mana pemimpin banyak dipengaruhi oleh banyak faktor seperti faktor internal dan juga eksternal. Tetapi jika pemimpin atau ketua boleh mengurus semua factor ini dengan baik terutama dalam membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan menguruskan konflik dengan berkesan maka sudah tentu suasana kerja yang aman dan positif akan tercapai. Oleh itu, kerjasama ketua dengan pengikut adalah penting dalam menjalankan tugas sebagai ketua atau pemimpin dan juga sebagai orang bawahan.
Jadi bagaimanakah seorang pengikut boleh menyumbang dalam membantu ketua untuk mencapai objektif organisasi dan menghasil produk yang baik dan berkualiti dalam semua situasi. Menurut Chleff (2010) hubungan di antara pemimpin dan pengikut adalah merupakan satu putaran umpama guru dan murid yang berada dalam lingkungan ilmu pengetahuan, kemahiran manakala pemimpin dan pengikut adalah berada dalam lingkugan tujuan organisasi. Walau bagaimanapun pengikut tidak boleh menjangkau ketua atau pemimpin. Ini bermakna walau bagaimanapun situasi pengikut mereka akan sentiasa berada di bawah dan tidak boleh melepasi kuasa pemimpin. Oleh itu Chaleff (2010) mencadangkan saranan untuk menjadi pengikut yang unggul seseorang itu harus mempunyai keberanian dalam tanggungjawab, berani untuk berkhidmatan, berani menghadapi cabaran, berani dalam mentransformasikan diri serta mengambil tindakan yang bermoral di samping berani untuk mendengar kepada pengikut yang lain.
Heath (2010) juga menegaskan sebagai ketua seseorang itu harus menggunakan fungsinya untuk melahirkan lebih banyak pemimpin bukannya pengikut. Ini bermakna jika pemimpin dapat melaksanakan tugas dengan baik sudah tentu dia akan mendapat rakan kongsi dalam organisasi yang akan bekerjasama dalam mencapai objektif organisasi walaupun pada hakikatnya mereka adalah pengikut tetapi ketua memandang mereka sebagai pemimpin.
 Untuk mencapai hasrat itu pemimpin haruslah memberi peluang kepada pengikut yang berpontensi dan berkeliber yang mana boleh menjadi aset kepada kemajuan dan kecemerlangan organisasi dengan memberi peluang kepada pengikut tersebut untuk mendapat informasi agar mereka dapat membuat keputausan dengan bijak dan tepat. Selain itu mendapat sumber yang sepatutnya untuk memberi inisiatif dan motivasi dalam mereka menjalankan tugas mereka. Seterusnya menanamkan semangat akauntabiliti di man pengikut diberi kepercayaan dalam segala hal yang mana mereka telah dipertanggungjawab. Pengikut juga harus menunjukkan kebolehan untuk bekerja sama, mengurus kerja dan sumber yang ada. Ini akan memberi impak dalam yang kuat untuk pengikut untuk terus menyumbang dan melakasanakan tugas dengan baik.
Grayson dan Speckhart (2006) menegaskan hubungan di antara pemimpin dan pengikut adalah sangat penting dalam menentukan kejayaan dan kecemerlangan organisasi maka mereka telah melihat beberapa komponen penting yang harus dilakukan oleh ketua dan juga pengikut. Antaranya ialah ketua dilihat sebagai nilai yang amat penting dalam setiap organisasi kerana itu setiap orang mendambakan untuk menjadi ketua. Ketua juga dianggap selalunya betul dan berkuasa kerana itu sesiapa yang menajdi ketua harus dihormati dan dikuti dengan jujur dan setia. Selain itu, hubungan di antara ketua dan pengikut hendaklah dibangunkan dan dikembangkan untuk mencapai prestasi yang memuaskan. Mereka juga melihat bahawa tidak salah untuk menjadi pengikut kerana setiap individu ada kewajipan dan tanggungjawab masing-masing. Kalau menjadi pengikut yang efektif sudah tentu ketua akan menghargai dan pengikut yang lain juga menghormati. Oleh itu,  sebagai pengikut kita harus menyumbang dalam segala hal demi kemajuan organisasi. Sementara itu, mereka juga berpendapat bahawa ketua dan pengikut haruslah menjalankan klobrasi atau kerjasama di antara satu dalam segala hal yang dilakukan. Komunikasi yang baik antara ke dua pihak amat penting dalam menjalankan peranan masing-masing tanpa banyak persoalan dan kerenah siapa ketua dan siapa pengikut.
Menurut Miller, Butler dan Cosentino (2003) menjelaskan hubungan ketua dan pengikut yang efektif adalah bersandarkan kepada  tiga komponen dalam Model kontigensi di mana pengaruh seseorang ketua dijadikan sandaran sebagai asas kepada ketua dan pengikut merasa saling diterima dan menyokong antara satu sama lain. Struktur tanggung jawab yang menentukan tanggunjawab, prosidur, peniliaan progress dan kejayaan di antara pengikut dan pemimpin. Sementara itu, kuasa  kepimpinan  di mana ketua seharusnya menggunakan kuasa secara formal untuk menentukan penghargaan dan hukuman dalam organisasi. Selain itu  Foster (2010) juga menyatakan bebarapa teori berkaitan ketua dan pengikut yang boleh dipraktikan adalah seperti teori Great Man Theory, Top-Down Leadership Theory dan  Agency Theory Dyadic Theory. Kesemua teori ini menegaskan tentang kepentingan dan kaedah bagaimana ketua dan pengikut dapat bersatu dalam menjalankan tugas untuk mencapai matlamat seseuatu organisasi.
Untuk mencapai  kejayaan dalam organisasi  selian dari hubungan ketua atau pemimpin dan pengikut ketua juga harus tahu pandai menentukan tanggungjawab sesorang pengikut. Ini boleh dilakukan melalui delgasi tugas atau menurunkan kuasa kepada pihak tertentu untuk menjalankan tugas seorang ketua sama ada dia dia ada tau pun tidak diorganisasi tersebut. Banyak faedah yang diperolehi ketua terutama dalam pengurusan seperti banyak masa boleh ditumpukan untuk perkara lain bagi tugas yang lebih penting, meningkat produktiviti organisasi, untuk melatih dan membangunkan pengikut dan setrusnya dapat mengurangkan tekanan kepada pengurus. Perkara yang boleh diturunkan kuasa atau diarahkan kepada pengikut adalah seperti menyelasaikan masalah yang ringan, kerja-kerja berkaitan laporan , tugasan yang rutin atau biasa teknikal dan yang boleh membangunakan pengikut seperti memberi latihan dan bimbingan mengikut kepakaran pengikut tersebut. Walau bagaimana pun tedapat halangan dikalangan ketua yang enggan atau tidak boleh menurunkan kuasa atas sebab peribadi dan takut kehilangan kuasa dan kuarang pengaruh.
Selain itu menurut manning dan Curtis  untuk menurunkan kuasa yang  atau delegasi tugas  bebarapa perkara harus diketahui oleh ketua atau pemimpin antaranya ialah berkongsi kuasa dengan staf, jangan menurunkan kuasa yang tidak relevan, tugas yang dianggap berat atau berisiko, mengetahui siapa dia staf yang berkeliber, serta menggunakan delegasi sebagai alat untuk tujuan membaiki dan membangunkan staf. Selain itu bagi penerangan yang jelas untuk soalan yang diberi dan cuba bagi peluang staf untuk lebih banyak bertanya daripada menyoal soalan kepada staf. Seterusnya juga menggunakan pendekatan “ do it, delegate or ditch it dalam proses delegasi.
Sebagai kesimpulan, hubungan ketua dan staf atau pengikut yang baik adalah hubungan yang menuju ke arah matlamat yang positif dan mewujudkan suasana yang harmoni di samping jalinan kerjasama dalam semua hal. Delegasi dan komunikasi memain peranan penting dalam mengeratkan hubungan di antara pemimpin dan pengikut. Pendekatan teori dalam hubungan ketua dan pemimpin juga memain peranan penting dalam memberi garis panduan kepada ketua dan pengikut dalam menentukan kejayaan organisasi.


Rujukan
Chaleff, I (2002) The Courageous Follower ( 2nd Edt). San Francisco: BK- Berbrett-Kobhler Publisher. Inc.
Foster, P.A. (2010). Leader-Follower Theory for the learning organization. (on-line)
Grayson, D. & Speckhart, R. (2006). The leader-follower Relationshiop: practitioner Observations. Leadership Advance online; http://www.regent.edu/acad/ sis/publications/journals, leadershipadvance/issues_6/pdf/grayson_speckhart.pdf
Heath, M. (2010). Leadership Secrets. London: Harper Collins publisher.
Miller, R. L, Butler,J. & Cosentino, C. J. ( 2003). Followership effectiveness: an extension of Fiedler’s contingency model. The Leadwership & Organizational Journal. 25.4. 362-368.
Manning, G. & Curtis, K. (2009). The Art of Leadership. New York: McGraw-Hill International Edition.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hosted Desktop