KITARAN tamadun manusia dan sejarah perjuangan bangsa jelas
menunjukkan generasi muda dan pelajar sebenarnya mempunyai pemaknaan
tertentu yang tidak boleh dikesampingkan.
Mereka merupakan cerminan masa depan sesebuah tamadun. Justeru,
penampilan suatu wajah dan imej generasi muda yang beriman,
beridealisme, berilmu, berakhlak, berketerampilan dan mempunyai daya
juang yang tinggi amatlah diperlukan.
Kisah generasi muda yang dirakamkan dalam surah al-Kahfi adalah
lambang kesetiaan dan keutuhan idealisme golongan remaja walaupun berada
di tengah-tengah suasana kebejatan moral dan akidah yang melampau.
Senario mutakhir tamadun dunia yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran
dan kecelaruan mencakupi bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan
keagamaan menuntut tindakan yang lebih proaktif khasnya daripada
generasi muda.
Pastinya, peranan kita dalam dunia hari ini dan akan datang semakin
mencabar. Apakah kita berupaya menjadi satu generasi yang dapat
mempertahankan maruah dan kewibawaan dalam berhadapan dengan suasana
kepelbagaian ragam dan rencam termasuklah kecelaruan masyarakat?
Mampukah kita gah berdiri menyatakan prinsip dan pendirian sebagai
seorang Muslim berjiwa besar, tatkala pelbagai bentuk cabaran dan
kesengsaraan menujah kita hingga ke tahap menggadaikan prinsip dan
idealisme sebagai pemuda-pemudi Islam?
Generasi muda adalah aset terpenting umat seperti mana yang telah
diungkapkan oleh Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi yang mengumpamakan kelompok
ini sebagai mutiara yang menjadi perbendaharaan negara.
Siapa pula dapat melupakan kata-kata Sukarno yang lantang melaungkan
bahawa negara Indonesia mampu bangkit menjadi kuasa besar dunia walau
hanya dengan 10 orang pemuda yang memiliki kualiti manusia unggul.
Namun, apa yang menakutkan hari ini adalah permasalahan sosial yang
semakin meruncing dalam kalangan generasi muda. Kemuflisan akhlak mereka
bererti kehancuran sesuatu bangsa seperti mana yang diungkapkan dengan
jelas oleh Shauqi Bek, seorang penyair terkenal Mesir dalam madahnya:
"Sesungguhnya sesuatu umat itu tidak lain melainkan budi pekerti, selama
budi pekerti itu ada, maka adalah umat. Dan jika budi pekerti itu
lenyap, maka lenyaplah umat."
Potensi-potensi kepemudaan yang dimiliki oleh generasi muda perlu
digembleng sepenuhnya untuk kebaikan. Seterusnya dapat menjadi agen
pengubah dalam masyarakat.
Penyertaan pemuda-pemudi perlu mengambil kira realiti masyarakat
Malaysia yang diwarnai oleh struktur dan watak kepelbagaian agama,
bangsa, budaya, adat dan bahasanya. Seluruh upaya generasi muda Malaysia
hendaklah diarahkan kepada satu bentuk sumbangan yang positif dan
bukannya menjadi beban kepada masyarakat dan negara.
Menganjak kebangkitan melalui proses pencerahan, pembebasan dan
perubahan sebuah generasi merupakan agenda terpenting untuk
disemarakkan. Pun begitu, anjakan ini tidak datang secara tiba-tiba
dengan datangnya seorang wira atau tokoh mahupun pemimpin yang akan
mengetuai misi penting ini.
Dr. Majid Irsan Kailani dalam kajian ilmiahnya yang dibukukan bertajuk Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Jurusalem ke Pangkuan Islam memperbetulkan salah faham terhadap pemahaman teori kebangkitan dan kejayaan generasi Salahuddin al-Ayyubi.
Beliau telah mengemukakan dalil-dalil, fakta sejarah dan hakikat
sunnatullah bagi membuktikan bahawa kejayaan generasi Salahuddin menawan
Palestin dan menyebarkan Islam bukanlah kerana kehebatan dan ketokohan
semata-mata.
Proses kebangkitan yang menyaksikan peribadi generasi itu sebenarnya
dimulakan melalui hasil tarbiah yang dibina oleh Imam Abu Hamid
al-Ghazali setelah beliau mengasingkan diri (uzlah) daripada kerajaan pimpinan Nizam al-Muluk.
Kelemahan-kelemahan dalaman umat Islam waktu itu yang ditandai dengan
gejala fanatisme mazhab, penyimpangan sufisme, batiniah, falsafah dan
ketidakseimbangan dari sudut ekonomi, sosial, politik dan ketenteraan
telah mendatangkan suatu iltizam yang tinggi kepada beliau untuk membina
madrasah tarbiah yang bakal mempersiapkan generasi kebangkitan kelak.
Usaha-usaha ini telah disambut pula oleh Syeikh Qadir al-Jilani yang
telah menggabungkan madrasah-madrasah dari Tanah Arab antara tahun 546
Hijarah - 550 Hijrah. Graduan madrasah-madrasah inilah yang akhirnya
telah membina jaringan kebangkitan generasi muda oleh Nurudin az-Zinki
dan kemudiannya Salahuddin al-Ayyubi yang mantap dan seimbang daripada
semua segi.
Justeru, Salahuddin al-Ayyubi merupakan susuk peribadi yang paling
hebat untuk menampilkan keunggulan sebuah generasi yang telah mengalami
proses kebangkitannya sejak sekian lama.
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm
Sabtu, 21 April 2012
Gembleng potensi generasi muda
9:30 PTG
Merikan Aren
No comments
0 ulasan:
Catat Ulasan