ISLAM adalah agama yang cukup sinonim dengan damai, adil, toleransi
dan berperikemanusiaan. Justeru, Islam sentiasa memberi penekanan kepada
konsep hidup bermasyarakat.
Lantas, Islam memberikan ruang yang luas bagi setiap orang agar mengamalkan toleransi dan menghargai kebebasan.
Walau bagaimanapun, ada media Barat yang suka mengaitkan Islam dengan
keganasan. Imej yang salah lagi prejudis ini harus diperbetulkan.
Perkataan toleransi dalam bahasa Arab disebut tasamuh yang bermaksud menghormati pegangan dan pendapat orang lain.
Islam membentuk nilai-nilai toleransi untuk dijelmakan melalui sistem muamalat sesama manusia.
Sejak awal lagi, Islam mengamalkan sikap toleransi terhadap orang bukan Islam yang tidak memusuhi penganut Islam.
Tidak seperti masyarakat pertengahan yang lain, negara Islam telah
berjaya mengamalkan sikap belas kasihan terhadap orang bukan Islam yang
berada di bawah pemerintahan Islam.
Selain menerima konsep kemajmukan dalam bermasyarakat, Islam juga adalah agama yang mengamalkan sifat tasamuh dan membenci sifat antitoleransi terhadap sesama manusia serta menegakkan kebebasan beragama.
Dalam berurusan dengan manusia, Allah SWT mengajar rasul-Nya dan umat
Islam supaya sentiasa bersikap toleransi sama ada ketika bersama kawan
mahupun lawan.
Peringkat toleransi yang paling tinggi ialah tidak melarang orang
yang berlainan agama daripada melakukan sesuatu yang mereka percaya
halal pada sisi agama dan mazhab mereka, biarpun dipercayai bahawa
perkara itu adalah haram menurut pandangan agama sesetengah orang lain.
Selain daripada hak dan kewajipan yang berbentuk undang-undang
ditetapkan kepada orang bukan Islam, sikap toleransi Islam juga begitu
menyerlah.
Umat Islam disarankan supaya tetap berbuat baik kepada ibu bapa
walaupun mereka mengajak kepada kekufuran. Firman Allah SWT dalam surah
Luqman ayat 15 yang bermaksud:... dan jika mereka berdua mendesakmu
supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu - dengan fikiran sihatmu
- tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada
mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.
Meskipun mutakhir ini berlaku kemerosotan tamadun dan penyimpangan
terhadap ajaran Islam sebenar, majoriti umat Islam di seluruh dunia hari
ini masih menunjukkan toleransi dalam memahami agama lain serta
berinteraksi dengan pengikut mereka.
Budaya toleransi terhadap agama dan kepercayaan lain yang dibentuk
oleh Islam bukanlah bersifat pasif malah bersifat aktif dalam
menghormati dan menghargai prinsip hidup dan keyakinan orang lain, di
samping sentiasa bersedia untuk mencari titik-titik persamaan.
Ia juga dikaitkan dengan tidak terlalu idealisme, tidak fanatik,
tidak mementingkan diri di samping mempunyai sifat terbuka, realistik,
muafakat, tolak ansur, sabar dan menghormati hak orang lain.
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm
Sabtu, 21 April 2012
Nilai toleransi dalam Islam
9:34 PTG
Merikan Aren
No comments
0 ulasan:
Catat Ulasan