Penuhi hak jiran, beri kelapangan kepada masyarakat
Oleh Ibrahim Abdullah
2012/05/06
JIRAN atau tetangga adalah orang pertama yang mengetahui dan merasakan
kebaikan dan juga gangguan kita. Kerana itu adab mulia berjiran sangat
ditekankan dalam syariat Islam. Memenuhi hak jiran yang pintu rumahnya
lebih dekat dengan rumah kita diutamakan berbanding yang jauh.
Daripada Saidatina Aisyah, dia berkata: “Wahai Rasulullah, saya mempunyai dua jiran, yang manakah lebih aku berikan hadiah terlebih dulu? Baginda menjawab: Yang lebih dekat dengan pintu rumahmu.” (Hadis riwayat Bukhari)
Sekecil manapun pemberian untuk menunjukkan perhatian dan hubungan sosial tidak boleh dianggap ringan. Islam juga menetapkan siapa yang mengaku beriman kepada Allah dan hari akhirat, janganlah mengganggu jiran tetangganya.
Daripada Abu Syuraih bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Allah, tidak beriman, demi Allah, tidak beriman, demi Allah, tidak beriman. Ditanyakan kepada Baginda: Siapa yang tidak beriman wahai Rasulullah? Baginda bersabda bermaksud: Iaitu orang yang jiran tetangganya tidak merasa aman dengan gangguannya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Islam juga menganjurkan memberikan kelapangan bagi jiran tetangga dan memperhatikan hal-hal kecil yang menjadi keperluan mereka.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Janganlah seseorang melarang jiran tetangganya untuk menyandarkan kayunya di dinding rumahnya. Kemudian Abu Hurairah berkata: Jangan sampai aku melihat kamu menolak ketentuan hukum ini. Demi Allah, kalau sampai terjadi, akan aku lempar kayu itu menimpa bahu kamu.” (Hadis riwayat Bukhari)
sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Penuhihakjiran_berikelapangankepadamasyarakat/Article/index_html
0 ulasan:
Catat Ulasan