SAYA bagaikan mendapat kehidupan baru yang lebih indah," ulas Andrew Ooi Kuan Jim, 45, individu yang mengalami penurunan testosteron tatkala diajukan soalan bagaimana kehidupannya hari ini.
Tanpa berselindung, Andrew menceritakan perubahan dirinya berlaku
sekitar penghujung tahun lalu di mana tahap kemarahan tidak lagi dapat
dikawal dan individu yang sering menjadi mangsa ialah anak bongsunya.
Daripada perubahan perwatakannya itu kemudian disusuli dengan tahap
keletihan yang melampau, Andrew tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan
dirinya.
Walaupun begitu, dia tidak pula segera berjumpa doktor untuk
mengetahui punca kepada permasalahan tersebut kerana beranggapan
mengalami tekanan kerja.
Malah dia mula serius memikirkannya setelah berjumpa dengan seorang kawannya di Singapura sekitar September tahun lalu.
Manakan tidak, menurut Andrew, kawannya yang jauh lebih berusia
daripadanya kelihatan lebih cergas dan muda jika dibandingkan dengan
dirinya ketika itu.
Tanpa membuang masa dia bertanyakan kepada rakannya itu apakah rahsia yang diamalkan.
Setelah mendapat gambaran sebenar mengenai perubahan yang berlaku
pada kawannya itu, Andrew membuat kesimpulan mungkin dirinya turut
mengalami masalah yang sama iaitu masalah kekurangan testosteron.
Kata Andrew, sebaik sahaja pulang dari Singapura, dia mengunjungi
salah sebuah klinik di ibu kota dan secara kebetulan terpandang risalah
mengenai masalah kekurangan testosteron.
"Daripada rentetan peristiwa tersebut saya telah berjumpa doktor
untuk mendapatkan nasihat serta jalan penyelesaian kepada masalah yang
dihadapi.
"Ternyata selepas pertemuan tersebut saya sebenarnya bukanlah
mengalami tekanan di tempat kerja mahupun tekanan di kawasan sekeliling
tetapi saya telah disahkan menghidapi sindrom 'lewat-mula
hipogonadisme'.
"Ujian darah menunjukkan saya mengalami masalah hormon testosteron
yang rendah. Disebabkan itulah saya berasa sangat lesu, cepat letih dan
murung.
"Wajah juga tampak tua dan layu malah saya juga berasa mudah bosan
dalam aktiviti seharian," katanya ketika ditemui pada pelancaran
Androgel, produk terbaru syarikat farmaseutikal, Orient Europharma, di
Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Malah menurut bapa kepada dua cahaya mata itu, sejak dia mendapatkan
rawatan kehidupannya kita lebih bertenaga malah hubungannya bersama anak
bongsunya juga kembali kepada sedia kala.
Untuk pengetahuan bersama, hormon yang penting bagi lelaki adalah
testosteron dan seiring peningkatan usia, paras testosteron juga boleh
menurun.
Ternyata apa yang dikongsi Andrew bersama pembaca adalah masalah paras testosteron di dalam badannya yang menurun.
Dia juga berpendapat bahawa masalah tersebut tidak boleh dipandang
remeh kerana secara tidak langsung ia mengganggu kesejahteraan kualiti
hidup seharian.
Bercerita mengenai rawatan yang dilakukan, kata Andrew, ia
membabitkan penggunaan ubat sapu yang mudah digunakan dan tidak
mengambil masa lama untuk mendapatkan kesannya.
Dia mengakui kini sendiri kembali normal selepas tiga minggu
menggunakan produk tersebut dengan hanya menyapunya pada bahagian perut,
bahu atau mana-mana bahagian lain badan.
Boleh berlaku seawal 30-an
Dalam pada itu, menurut Perunding Pakar Urologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Zulkifli Md. Zainuddin, masalah kekurangan testosteron dalam badan boleh berlaku pada mana-mana individu lelaki yang berusia seawal 30-an.
Tambah beliau, selain itu, masalah ini juga boleh menyerang mana-mana
lelaki tanpa mengira status sama ada bujang ataupun sudah berkahwin.
Tetapi katanya, di Malaysia, mana-mana individu lelaki yang mengalami
masalah ini tidak mahu tampil kehadapan untuk mendapatkan rawatan.
"Walaupun masalah kekurangan testosteron bukanlah satu masalah yang
serius sehingga boleh membawa maut, tetapi ia merupakan satu masalah
kesihatan yang perlu dipandang berat terutama sekali pada orang lelaki.
"Ini kerana, apabila kurangnya testosteron dalam badan, ia mampu
menggugat keharmonian kualiti kehidupan harian selain mengubah
perwatakan individu-individu tersebut.
"Jadi, nasihat saya, sekiranya mereka mengalami simptom-simptom
kekurangan testosteron ini segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan
rawatan segera," katanya.
Begitupun, menurut Dr. Zulkifli, masalah ini sebenarnya tidak mudah
untuk dikenal pasti kerana simptomnya yang tidak begitu jelas malah ia
mudah disalah ertikan sebagai masalah lain.
Hari ini, terdapat beberapa kaedah rawatan hormon, namun ia bergantung kepada kesesuaian dengan individu tersebut.
Sekiranya perlu, doktor akan menyarankan kaedah yang bersesuaian
untuk anda kerana terdapat pelbagai kaedah rawatan untuk mengembalikan
testosteron ke paras normal seperti pengambilan pil, suntikan ataupun
ubat sapuan.
Jelas Dr. Zulkifli, bagi mana-mana individu yang mengalami masalah
kekurangan testostero, mereka mudah mendapat penyakit-penyakit lain
antaranya seperti jantung, kencing manis, obesiti, darah tinggi, sindrom
metabolik serta trombosis.
Jadi, Dr. Zulkifli menasihatkan agar kaum Adam hari ini melakukan
pemeriksaan tahap testosteron masing-masing agar dapat mengesannya lebih
awal.
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm#.T69gTgvoJDo.blogger
Ahad, 13 Mei 2012
Penurunan testosteron akibatkan kemurungan
3:19 PTG
Merikan Aren
No comments
0 ulasan:
Catat Ulasan