Rashid yang berusia lewat 30-an sentiasa sibuk
dengan tugasnya sebagai ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat.
Terlalu sibuk hinggakan tidak mempunyai masa untuk menjaga kesihatan
diri.
Pada suatu pagi, sewaktu Rashid hendak ke pejabat, dia mengalami rasa
sakit dada yang amat sangat. Rasa sakit itu menyebabkan dia sukar
bernafas dan tiba-tiba pitam.
Apabila Rashid pulih dan sedar semula, dia mendapati dirinya berada di hospital. Apakah yang telah berlaku?
"Rashid, anda telah mengalami serangan
jantung . Saya dapati serangan jantung berpunca daripada tabiat merokok anda," terang doktor.
Kisah Rashid adalah lazim bagi kebanyakan penghidap sakit jantung
tetapi belum lagi didiagnosis. Orang seperti Rashid menjalani kehidupan
harian tanpa menyedari bahawa mereka sedang menghidap penyakit ini.
Kebanyakan pesakit mungkin dengan secara tiba-tiba diserang dengan
gejala-gejala terkejut seperti sesak nafas, sakit dada atau debaran
jantung.
Biasanya selepas ini berlaku, barulah mereka bergegas berjumpa doktor
dan diberitahu apa yang mereka alami sebenarnya gejala-gejala sakit
jantung.
Orang mudaSejak akhir-akhir ini, kebanyakan kes jantung turut menyerang orang muda hingga menyebabkan kematian mengejut.
Misalnya, kita pernah dikejutkan dengan kematian pelakon popular pada
Januari tahun lalu, Mohd. Faisal Yusup yang baru berusia 33 tahun.
Beliau dipercayai diserang sakit jantung membuatkan orang ramai
terfikir, betapa jahatnya penyakit jantung .
Pendek kata, sakit jantung kini tidak lagi berperangai ala-ala gadis
sunti yang malu-malu seperti mana pernah dipertontonkan dahulu.
Ia bukan lagi penyakit pak cik, mak cik. Bukan juga ia menyerang
orang kaya sahaja. Sila buang tanggapan anda bahawa ia jarang-jarang
membunuh seperti tabiatnya sebelum ini.
Penyakit ini semakin rakus menyerang golongan muda.
MeningkatPakar Perunding Kardiologi, Dr. Azmee Ghazi
memberitahu, rata-rata masyarakat termasuk golongan muda mempunyai gaya
hidup yang tidak baik termasuk merokok.
Pesakit tidak tahu bahawa mereka menghidap sakit jantung sehinggalah pemeriksaan dibuat.
Ada juga pesakit menganggap sakit dada sebagai penyakit biasa kerana
menganggap tidak mungkin diserang sakit jantung sebab umur masih muda.
Justeru, Dr. Azmee menasihatkan orang ramai supaya menjalani gaya
hidup sihat, berhenti merokok dan segera membuat pemeriksaan di bahagian
kecemasan hospital jika tiba-tiba mengalami sakit dada.
Menurut statistik Kementerian Kesihatan, tidak bersenam dan gagal
mengamalkan gaya hidup sihat dipercayai menjadi faktor bilangan
penghidap penyakit jantung yang baru mencecah sehingga 38,000 orang
setiap tahun.
Jumlah tersebut menjadikan penyakit jantung sebagai penyumbang
kematian terbesar di hospital-hospital kerajaan iaitu 7,597 kematian
atau sebanyak 16.54 peratus daripada keseluruhan 45,936 jumlah kematian
yang dicatatkan pada 2008.
Di Malaysia terdapat seramai 141 orang menghidap penyakit jantung
koronari bagi setiap 100,000 orang setiap tahun iaitu bersamaan 38,000
kes baru setiap tahun.
"Laporan Kementerian Kesihatan pada 2009 menunjukkan 1/4 kematian di
hospital kerajaan disebabkan penyakit jantung dan strok. Ini membuktikan
bahawa statistik ini semakin meningkat," jelas Dr. Azmee ketika ditemui
di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.
Pemeriksaan kesihatanTerdapat beberapa simptom jika seseorang itu diserang sakit jantung antaranya rasa tidak selesa pada dada.
Pesakit seolah-olah merasakan ada sesuatu yang menekan.
Simptom serangan jantung ini berbeza antara lelaki dan wanita.
"Lazimnya, lelaki akan mengalami simptom yang biasa seperti sakit
dada. Berbeza pula wanita, mereka akan berasa letih dan tidak dapat
tidur malam. Mereka juga tidak akan berasa sedap badan," katanya.
Dr. Azmee menasihatkan, agar mereka yang mempunyai simptom-simptom
tersebut supaya tidak membiarkan sehingga ke peringkat yang serius.
"Hampir sebahagian besar pesakit tidak mengendahkan simptom-simptom
tersebut dengan alasan ia tidak serius. Apa yang perlu, jika anda
mengalami simptom tadi, lakukan pemeriksaan kesihatan segera," jelasnya.
Ini kerana, sikap ambil mudah tersebut merugikan kerana rawatan yang
diberikan bergantung kepada tahap serius penyakit yang dihidapi.
MembezakanKebanyakan pesakit sukar membezakan sakit dada biasa dan serangan jantung.
Apakah perbezaannya dan bagaimana pula untuk menentukannya?
Dr. Azmee menjelaskan , seseorang itu dikatakan mendapat serangan
jantung apabila otot jantungnya tidak mendapat bekalan darah yang
mencukupi disebabkan oleh arteri koronari menjadi sempit.
"Ia juga boleh terjadi apabila bekalan tersebut terputus sama sekali
mengakibatkan sebahagian daripada otot itu telah mati atau mengalami
nekrosis dan gagal berfungsi,'' ujarnya.
Ini terjadi apabila berlakunya pengumpulan sejenis lemak atau plak
yang melekat pada dinding saluran darah yang lama-kelamaan menyempit
atau menyekat pengaliran darah ke jantung .
Apabila ini berlaku, serangan awal jantung bermula.
Sakit jantung biasanya terasa amat mencengkam dan menyucuk di bahagian dada terutamanya di tengah-tengah dan sebelah kiri dada.
Dr. Azmee memberitahu, kebanyakan mereka yang mendapat serangan
jantung tidak merasakan yang mereka sedang mengalami masalah tersebut
dan sekadar menganggapnya sebagai kesakitan yang tidak berbahaya.
"Jika ada faktor-faktor risiko seperti kencing manis, darah tinggi
atau tahap kolesterol tinggi, kemungkinan sakit jantung adalah lebih
tinggi.
"Justeru, walau apa pun kesakitan dada yang anda alami, ia tidak
boleh dibiarkan begitu sahaja. Menunggu terlalu lama sebelum mendapatkan
rawatan boleh menyebabkan kematian dan kerosakan yang kekal pada
jantung yang boleh menjejaskan kualiti hidup anda," katanya.
Bagi penghidap darah tinggi, kencing manis dan kolestrol tinggi,
beliau menasihatkan mereka supaya makan ubat dan berjumpa doktor secara
teratur.
"Kita juga perlu mendidik orang muda supaya mengamalkan gaya hidup sihat untuk mencegah serangan jantung," ujarnya.
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm
Selasa, 1 Mei 2012
Elak serangan jantung
3:14 PTG
Merikan Aren
No comments
0 ulasan:
Catat Ulasan