FENOMENA stres atau tekanan bukanlah perkara baru yang terjadi dalam
masyarakat. Stres amat berkait rapat dengan gaya hidup, perwatakan
seseorang, faktor keluarga, tekanan pekerjaan dan kejutan budaya.
Sekiranya tekanan gagal dikawal, ia akan memberikan kesan yang
negatif kepada kesihatan emosi, mental dan fizikal. Orang yang tidak
mampu mengawal tekanan, ditambah pula dengan iman yang kurang akan
cenderung untuk berputus asa dan kecewa.
Akhirnya terjadilah kes kemurungan yang berpanjangan, sakit mental, bunuh diri dan sebagainya.
Dalam Islam, tekanan adalah ujian daripada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah
menguji seseorang itu dengan perasaan takut, kelaparan, kekurangan
harta, nyawa dan hasil-mahsul yang tidak menjadi dan berilah khabar
gembira kepada orang-orang yang bersabar. (al-Baqarah:155)
Apabila kita berada dalam keadaan tertekan, terdapat tanda-tanda yang
mungkin akan berlaku seperti sakit kepala, letih, mudah marah, cepat
terlupa dan sebagainya.
Antara kesemua faktor-faktor berlakunya tekanan, faktor yang paling banyak berlaku ialah tekanan di tempat kerja.
Ini kerana, pada kebiasaannya masyarakat lebih banyak menghabiskan
masa di tempat kerja berbanding di rumah. Sehinggakan sewaktu berada di
rumah sekalipun masih memikirkan tentang kerja di pejabat.
Akhirnya, kita perlu sedar dan faham bahawa setiap kali kita berdepan
dengan masalah, maka setiap kali itulah dosa kita diampunkan.
Rasulullah SAW bersabda: "Kesedihan atau malapetaka yang menimpa
seseorang Muslim merupakan kafarah kepada dosa yang dilakukan."
Oleh itu, apabila kita menghadapi tekanan, perbanyakkanlah bersolat dan bersabar. Firman Allah SWT yang bermaksud: Mintalah pertolongan dengan Allah dengan sabar dan mengerjakan sembahyang. (al-Baqarah: 153)
Tekanan yang dialami oleh setiap individu adalah berbeza, oleh itu
sebagai seorang Muslim haruslah menerima ujian tersebut dengan hati yang
tabah dan reda. Mudah-mudahan, berkat kesabaran kita, Allah SWT akan
menggantikan dengan keberkatan hidup dan kebaikan yang lain.
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm
Selasa, 1 Mei 2012
Menangani tekanan
3:19 PTG
Merikan Aren
No comments
0 ulasan:
Catat Ulasan