MINDA atau akal adalah sesuatu yang amat penting bagi remaja. Ia
adalah alat berfikir mendapatkan maklumat. Ia adalah sumber penting
menjana ilmu. Dari minda ia memiliki upaya kognitif melakukan sesuatu
dengan rasional dan logik.
Berfikir rasional yang dipandu dengan etika yang baik bakal
memperkasa jalur berfikir remaja. Al-Quran memberi pedoman tentang
pentingnya minda itu diperkasakan. Al-Quran menyebut tentang afala ta'qilun (tidakkah kamu menggunakan akal), juga afala tatafakkarun (tidakkah kamu mempunyai daya fikir) serta afala yatadabbarun (tidakkah kamu kaji selidik).
Asas-asas ini penting bagi remaja kerana berfikir itu tidak sahaja suatu aktiviti minda tetapi ia dipedoman dengan etika.
Minda perkasa
Memperkasa minda remaja mestilah dengan data, fakta, maklumat yang
sahih dan juga ilmu yang benar. Cara begini boleh membentuk pola
berfikir remaja yang lebih sistematik dan mampu berfikir yang sifatnya
menyumbang.
Dalam keadaan lain, remaja juga menggunakan minda untuk maksud-maksud
tertentu. Tetapi minda yang tidak ditunjangi dengan nilai-nilai
rohaniah dan etika, ia tidak mampu memberi pedoman berfikir kepada
remaja.
Berfikir hanya semata-mata berfikir, sifatnya mekanistik. Berfikir
menggunakan minda untuk mencari kebenaran dan kebaikan mestilah disertai
dengan etika dan nilai.
Berfikir secara duniawi hanya sekadar berlegar kepada hal-hal yang
tampak. Berfikir secara rohani dan etika yang tinggi menghubungkan diri
dengan perkara-perkara yang ghaib seperti Allah, dan memberi pedoman
kepada kehidupan.
Pemerkasaan minda remaja harus bermula dengan rasa ingin tahu yang
tinggi. Ia harus terarah untuk menghubungkan minda dengan sumber-sumber
yang benar dan bermanfaat.
Menghubungkan minda dengan faktor-faktor persekitaran dan fenomena
yang terjadi, sifatnya membatasi. Tetapi menghubungkan minda kepada
sumber-sumber pedoman daripada Allah SWT iaitu al-Quran memberi remaja
suluh dan cara.
Suluh bermaksud jalur berfikir remaja tidak sahaja faham terhadap yang nyata tetapi meyakini terhadap yang ghaib.
Tautan yang nyata dengan yang ghaib bakal mengolah cara berfikir yang
seimbang. Fokus berfikir tidak sahaja ditumpukan kepada hal-hal duniawi
tetapi juga perkara yang bersifat ukhrawi.
Pemikiran remaja masa kini banyak terarah kepada hal-hal yang popular
dan tidak semestinya benar dan bermanfaat. Berfikir secara zahiri
menyebabkan minda remaja terbatas. Justeru, berfikir secara zahiri dan
batini memberikan asas kefahaman yang tinggi.
Melihat cakerawala di langit, menghubungkan minda dengan kuasa Allah
sebagai pencipta dan mengaturkan perjalanannya. Melihat manusia tidak
sekadar tubuh badan secara fizikal tetapi manusia itu memiliki hati dan
rasa, rohani dan jiwa untuk diberikan kejernihan terhadap peranannya.
Oleh itu, minda yang terbangun dengan faktor zahiri semata sifatnya
tidak lengkap. Faktor batini harus dijadikan landasan penting berfikir
remaja supaya perspektif yang diambil sifatnya seimbang.
Berfikir cara Barat umpamanya, sifatnya mekanistik. Mekanistik
bermakna sumber-sumber data dikaji, difikir dan diteliti secara minda
semata-mata, tetapi pemikiran yang seimbang merujuk kepada sumber
daripada pencipta bagi membantu kita memahami fenomena dan keadaan,
talian hubungan yang nyata dengan yang ghaib.
Daripada situ remaja memiliki cara berfikir yang berkualiti dan
seimbang serta minda remaja menjadi perkasa. Disebabkan sesetengah para
remaja tidak berfikir secara seimbang, hal-hal yang dibicarakan di
kalangan remaja bersifat remeh-temeh, popular dan tidak memberi bekas
kepada pemikiran, hati dan jiwa. Cara begini menyebabkan minda remaja
selalu longlai, tidak bertenaga dan tidak memberi kesan kepada diri dan
amalan.
Nilai dalam berfikir
Minda yang baik bagi remaja ialah berdasarkan dapatan yang sahih,
kajian yang telus dan sesuatu yang lain yang memberi manfaat. Berfikir
sekadar berfikir tanpa pedoman nilai, tidak memberi arah kepada aktiviti
mental.
Pemikiran yang didukung oleh nilai yang benar dan bermanfaat
menjadikan aktiviti mental terserlah. Sifat minda yang ada sering
memandu pemikiran, daya intelek dan kekuatan akliah.
Berfikir sekadar berfikir tanpa dipedoman oleh nilai selalunya
kelihatan hampa dan kosong. Ia tidak menyumbang kepada lahirnya ilmu
yang berkualiti dan mensejahterakan.
Oleh itu, minda remaja harus diaktifkan dengan asas-asas kemahiran
berfikir. Berfikir secara kritikal, kreatif, lateral, strategik dan
futuristik amat perlu bagi remaja kerana ia meletakkan remaja dalam
keadaan berfikir yang baik, mampu melakukan respons terhadap peristiwa
dan kejadian, fakta dan data serta akhirnya mampu menghubungkan semua
itu dengan sumber agung iaitu al-Quran.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm
Selasa, 1 Mei 2012
Memperkasa minda remaja
3:17 PTG
Merikan Aren
No comments
0 ulasan:
Catat Ulasan