Sabtu, 21 April 2012

Gembleng potensi generasi muda

KITARAN tamadun manusia dan sejarah perjuangan bangsa jelas menunjukkan generasi muda dan pelajar sebenarnya mempunyai pemaknaan tertentu yang tidak boleh dikesampingkan.
Mereka merupakan cerminan masa depan sesebuah tamadun. Justeru, penampilan suatu wajah dan imej generasi muda yang beriman, beridealisme, berilmu, berakhlak, berketerampilan dan mempunyai daya juang yang tinggi amatlah diperlukan.
Kisah generasi muda yang dirakamkan dalam surah al-Kahfi adalah lambang kesetiaan dan keutuhan idealisme golongan remaja walaupun berada di tengah-tengah suasana kebejatan moral dan akidah yang melampau.

Senario mutakhir tamadun dunia yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan kecelaruan mencakupi bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan menuntut tindakan yang lebih proaktif khasnya daripada generasi muda.
Pastinya, peranan kita dalam dunia hari ini dan akan datang semakin mencabar. Apakah kita berupaya menjadi satu generasi yang dapat mempertahankan maruah dan kewibawaan dalam berhadapan dengan suasana kepelbagaian ragam dan rencam termasuklah kecelaruan masyarakat?
Mampukah kita gah berdiri menyatakan prinsip dan pendirian sebagai seorang Muslim berjiwa besar, tatkala pelbagai bentuk cabaran dan kesengsaraan menujah kita hingga ke tahap menggadaikan prinsip dan idealisme sebagai pemuda-pemudi Islam?
Generasi muda adalah aset terpenting umat seperti mana yang telah diungkapkan oleh Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi yang mengumpamakan kelompok ini sebagai mutiara yang menjadi perbendaharaan negara.
Siapa pula dapat melupakan kata-kata Sukarno yang lantang melaungkan bahawa negara Indonesia mampu bangkit menjadi kuasa besar dunia walau hanya dengan 10 orang pemuda yang memiliki kualiti manusia unggul.
Namun, apa yang menakutkan hari ini adalah permasalahan sosial yang semakin meruncing dalam kalangan generasi muda. Kemuflisan akhlak mereka bererti kehancuran sesuatu bangsa seperti mana yang diungkapkan dengan jelas oleh Shauqi Bek, seorang penyair terkenal Mesir dalam madahnya: "Sesungguhnya sesuatu umat itu tidak lain melainkan budi pekerti, selama budi pekerti itu ada, maka adalah umat. Dan jika budi pekerti itu lenyap, maka lenyaplah umat."
Potensi-potensi kepemudaan yang dimiliki oleh generasi muda perlu digembleng sepenuhnya untuk kebaikan. Seterusnya dapat menjadi agen pengubah dalam masyarakat.
Penyertaan pemuda-pemudi perlu mengambil kira realiti masyarakat Malaysia yang diwarnai oleh struktur dan watak kepelbagaian agama, bangsa, budaya, adat dan bahasanya. Seluruh upaya generasi muda Malaysia hendaklah diarahkan kepada satu bentuk sumbangan yang positif dan bukannya menjadi beban kepada masyarakat dan negara.
Menganjak kebangkitan melalui proses pencerahan, pembebasan dan perubahan sebuah generasi merupakan agenda terpenting untuk disemarakkan. Pun begitu, anjakan ini tidak datang secara tiba-tiba dengan datangnya seorang wira atau tokoh mahupun pemimpin yang akan mengetuai misi penting ini.
Dr. Majid Irsan Kailani dalam kajian ilmiahnya yang dibukukan bertajuk Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Jurusalem ke Pangkuan Islam memperbetulkan salah faham terhadap pemahaman teori kebangkitan dan kejayaan generasi Salahuddin al-Ayyubi.
Beliau telah mengemukakan dalil-dalil, fakta sejarah dan hakikat sunnatullah bagi membuktikan bahawa kejayaan generasi Salahuddin menawan Palestin dan menyebarkan Islam bukanlah kerana kehebatan dan ketokohan semata-mata.
Proses kebangkitan yang menyaksikan peribadi generasi itu sebenarnya dimulakan melalui hasil tarbiah yang dibina oleh Imam Abu Hamid al-Ghazali setelah beliau mengasingkan diri (uzlah) daripada kerajaan pimpinan Nizam al-Muluk.
Kelemahan-kelemahan dalaman umat Islam waktu itu yang ditandai dengan gejala fanatisme mazhab, penyimpangan sufisme, batiniah, falsafah dan ketidakseimbangan dari sudut ekonomi, sosial, politik dan ketenteraan telah mendatangkan suatu iltizam yang tinggi kepada beliau untuk membina madrasah tarbiah yang bakal mempersiapkan generasi kebangkitan kelak.
Usaha-usaha ini telah disambut pula oleh Syeikh Qadir al-Jilani yang telah menggabungkan madrasah-madrasah dari Tanah Arab antara tahun 546 Hijarah - 550 Hijrah. Graduan madrasah-madrasah inilah yang akhirnya telah membina jaringan kebangkitan generasi muda oleh Nurudin az-Zinki dan kemudiannya Salahuddin al-Ayyubi yang mantap dan seimbang daripada semua segi.
Justeru, Salahuddin al-Ayyubi merupakan susuk peribadi yang paling hebat untuk menampilkan keunggulan sebuah generasi yang telah mengalami proses kebangkitannya sejak sekian lama.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hosted Desktop