Sabtu, 21 April 2012

Nilai toleransi dalam Islam

ISLAM adalah agama yang cukup sinonim dengan damai, adil, toleransi dan berperikemanusiaan. Justeru, Islam sentiasa memberi penekanan kepada konsep hidup bermasyarakat.
Lantas, Islam memberikan ruang yang luas bagi setiap orang agar mengamalkan toleransi dan menghargai kebebasan.
Walau bagaimanapun, ada media Barat yang suka mengaitkan Islam dengan keganasan. Imej yang salah lagi prejudis ini harus diperbetulkan.
Perkataan toleransi dalam bahasa Arab disebut tasamuh yang bermaksud menghormati pegangan dan pendapat orang lain.
Islam membentuk nilai-nilai toleransi untuk dijelmakan melalui sistem muamalat sesama manusia.
Sejak awal lagi, Islam mengamalkan sikap toleransi terhadap orang bukan Islam yang tidak memusuhi penganut Islam.
Tidak seperti masyarakat pertengahan yang lain, negara Islam telah berjaya mengamalkan sikap belas kasihan terhadap orang bukan Islam yang berada di bawah pemerintahan Islam.
Selain menerima konsep kemajmukan dalam bermasyarakat, Islam juga adalah agama yang mengamalkan sifat tasamuh dan membenci sifat antitoleransi terhadap sesama manusia serta menegakkan kebebasan beragama.
Dalam berurusan dengan manusia, Allah SWT mengajar rasul-Nya dan umat Islam supaya sentiasa bersikap toleransi sama ada ketika bersama kawan mahupun lawan.

Peringkat toleransi yang paling tinggi ialah tidak melarang orang yang berlainan agama daripada melakukan sesuatu yang mereka percaya halal pada sisi agama dan mazhab mereka, biarpun dipercayai bahawa perkara itu adalah haram menurut pandangan agama sesetengah orang lain.
Selain daripada hak dan kewajipan yang berbentuk undang-undang ditetapkan kepada orang bukan Islam, sikap toleransi Islam juga begitu menyerlah.
Umat Islam disarankan supaya tetap berbuat baik kepada ibu bapa walaupun mereka mengajak kepada kekufuran. Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 15 yang bermaksud:... dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.
Meskipun mutakhir ini berlaku kemerosotan tamadun dan penyimpangan terhadap ajaran Islam sebenar, majoriti umat Islam di seluruh dunia hari ini masih menunjukkan toleransi dalam memahami agama lain serta berinteraksi dengan pengikut mereka.
Budaya toleransi terhadap agama dan kepercayaan lain yang dibentuk oleh Islam bukanlah bersifat pasif malah bersifat aktif dalam menghormati dan menghargai prinsip hidup dan keyakinan orang lain, di samping sentiasa bersedia untuk mencari titik-titik persamaan.
Ia juga dikaitkan dengan tidak terlalu idealisme, tidak fanatik, tidak mementingkan diri di samping mempunyai sifat terbuka, realistik, muafakat, tolak ansur, sabar dan menghormati hak orang lain.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hosted Desktop