Sabtu, 24 Mac 2012

Kepimpinan dalam Perspektif Islam

Kepimpinan Dalam Perspektif Islam

Merikan aren
mbarsu64@yahoo.com

Persoalan kepimpinan dalam Islam merupakan suatu tugas yang amat berat kerana ianya berkait rapat dengan soal tugas sebagai khalifah di muka bumi. Menurut Azril Mohd Amin (2005), yang menyatakan bahawa persoalan kepimpinan ini merupakan tugas berat kerana sebagai pemimpin seseorang harus terlebih dahulu terpimpin di dalam hidayah dan petunjuk Ilahi seperti mana yang ditujukkan oleh Rasulullah S.A.W yang telah menjadikan dirinya sebagai contoh tauladan dalam kepimpinan Islam. Dalam konteks ini Islam dilihat sebagai satu institusi kepimpinan yang memainkan peranan yang berasaskan penerimaan umum melalui proses interaksi dan disebabkan kepimpinan yang luas dan menyeluruh Islam telah berjaya menubuhkan masyarakat dan Negara Islam di seluruh dunia.
Kepimpinan dalam Islam telah bermula sejak  terciptanya Adam  dan Hawa dan seterusnya apabila Nabi Adam diutu menjadi nabi dan rasul oleh Allah S.W.T. Semenjak dari itu kepimpinan Islam telah mula berkembang dan terus menjadi tunjang kepada kemajuan temadun Islam sehingga ke  hari ini. Sejak agama Islam wujud kepimpinan merupakan satu amanah yang amat berat menjadi tanggungjawab kepada semua insan di dunia ini. Menurut Ahmad bin Haji Ismail (2011) menjelaskan bahawa Islam menganggap setiap  seorang Muslim yang mukallaf sebagai pemimpin yang mana sekurang-kurangnya mereka adalah pemimpin bagi diri mereka dan keluarga mereka selain daripada menjadi pemimpin kepada masyarakat secara umum seperti mana Rasullullah S.A.W ada bersabda yang maksudnya:
“Jika tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah salah seorang dari mereka dilantik menjadi ketua.”
Ini menunjukkan bahawa Islam lebih menekankan bahawa peranan kepimpinan dalam Islam adalah sangat penting walaupun untuk jumlah sekecil tiga orang apatah lagi jika kumpulan atau pasukan mahupun organisasi itu lebih banyak ahlinya maka sudah tentu seorang pemimpin harus dilantik sebagai ketua. Dari itu, jelas kepada kita bahawa keperluan seorang ketua dalam Islam adalah sangat penting iaitu untuk menjalankan syariat Allah di muka bumi ini terutama berkaitan dengan tugas penguasa, pengarahan, menjaga kebajikan dan keselamatan, mengurus sumber, menjalankan usaha untuk kemuslahatan ramai dan mengelak dari pertelingkahan sesama manusia.
            Kepimpinan yang efektif menurut Haji Dahari bin Haji Derani (n.d), pemimpin Islam hendaklah mempunyai ciri-ciri seperti;  (1) Setia pemimpin dan orang yang dipimpin terikat kesetiaan kepada Allah, (2) Tujuan pemimpin melihat tujuan organisasi bukan saja berdasarkan kepentingan kelompok tetapi juga dalam ruang lingkup tujuan yang lebih luas, (3) Berpegang pada syariat dan Akhlak Islam iaitu pemimpin terikat dengan peraturan Islam, boleh mengendalikan urusannya maka seorang pemimpin Islam harus patuh kepada adab-adab Islam, khususnya ketika berurusan dengan golongan oposisi atau orang-orang yang tidak sehaluan dengannya, (4) Pembawa Amanah di mana pemimpin menerima kekuasaan sebagai amanah dari Allah yang disertai dengan tanggungjawab yang besar. Al-quran memerintahkan pemimpin melaksanakan tugasnya untuk Allah dan menunjukkan sikap baik kepada pengikutnya.
            Mengikut kepimpinan dalam Islam terdapat tiga prinsip dasar yang mengatur perlaksanaan kepimpinan Islam iaitu Syura dan Musyawarah, kebebasan berfikir dan memberi pendapat dan keadilan dan pemimpin yang adil. Haji Dahari bin Haji Derani (n.d) juga menjelaskan bahawa musyawarah adalah prinsip pertama dalam kepimpinan Islam di mana pemimpin Islam wajib mengadakan musyawarah dengan orang yang mempunyai pengetahuan atau dengan orang yang dapat memberikan pandangan yang baik. Musyawarah dikatakan berfungsi sebagai tempat mengawasi tingkah laku pemimpin jika menyimpang dari tujuan umum kelompok. Manakala kebebasan berfikir dan memberi pendapat untuk membuka ruang kepada ahli kelompok untuk mengemukakan kritikannya secara konstruktif dengan bebas dan mendapat jawapan dari soalan yang diajukan. Selain itu, pemimpin juga disaran untuk mencipta suasana berfikir dan pertukaran pendapat dan saling kritik dan menasihati antara satu sama lain untuk kepentingan bersama. Bagi kepimpinan dan pemimpin yang adil seharusnyalah pemimpin memperlakukan manusia secara adil dan tidak berat sebelah tanpa mengira bangsa, warna kulit, keturunan dan lain-lain seperti mana dijelaskan dalam Al-quran yang maksudnya;
“ Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil, berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa.” ( surah Al-Maidah, ayat 8)
            Selain itu, model pemimpin dan kepimpinan Islam terdapat empat elemen penting iaitu intelek, rohani, jasmani dan emosi yang perlu dimantapkan oleh seorang yang ingin menjadi pemimpin bagi membentuk satu karekter dan jati diri pemimpin dalam Islam. Selain itu, ilmu, iman, dan berhemah tinggi dan hikmah merupakan transformer penganjak yang mesti diaktifkan  kepada semua bakal pemimpin Islam di masa yang akan datang. Ahmad bin  Haji Ismail (2011) juga menjelaskan bahawa dalam kepimpinan Islam prinsip pemimpin itu juga tertakluk kepada sifat-sifdat mahmudah seperti yang dikehendaki bagi setiap muslim seperti sifat amanah, ikhlas, jujur, tekun, dedikasi, rajin, suka beribadat, suka beribadat pada waktu malam, belas kasihan, suka tolong menolong, suka menderma, bekerjasama, nasihat menasihati dan umumnya menjalankan amr makruf nahi mungkar.
            Sehubungan dengan itu, dalam meneruskan kepimpinan Islam pada hari ini pelbagai cabaran dan masalah yang harus dihadapi oleh pemimpin Islam terutama berkaitan dengan isu globalisasi yang mana ianya banyak memberi impak kepada pemimpin Islam baik secara lansung atau tidak lansung serta boleh menganggu gugat keyakinan pemimpin Islam pada mnasa kini terutama isu berkaitan hak asasi manusia, budaya, politik dan sosial. Oleh yang demikian pemimpin Islam perlu kepada keyakinan yang kukuh berteraskan aspek kepimpinan yang berdasarkan prinsip-prinsip kreatif dan saintifik yang menurut asas Islam melalui bimbingan Al-Quran dan Al-Hadis. Ini adalah penting bagi pemimpin Islam untuk meneruskan perjuangan kecemerlangan Islam sejagat.
            Rasulullah s.a.w  pernah bersabda yang maksudnya:
“Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga adalah bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu, bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya.”
Berdasarkan hadis tersebut jelas memberi petunjuk bahawa Islam melihat seorang pemimpin itu ibarat wakil atau pemberi khidmat kepada masyarakat untuk mentadbir urusan umat. Malah setiap individu juga berkewajipan untuk melurus dan memperbetulkan pergerakkan, menyuruh untuk mengerjakan kebajikan atau mencegahnya dari melakukan sebarang kemungkaran. Ini bermakna menurut Islam rakyat dan pemimpin harus saling mempunyai persafahaman dan saling bantu membantu dan tegur mnengur di antara satu sama lain kerana pemimpin dalam Islam adalah manusia biasa. Walau bagaimanapun, Islam juga meletakkan asas etika yang perlu dipatuhi, iaitu dalam menegur pemimpin wajib dilakukan secara beradab dan tidak secara terbuka yang boleh mengaibkan seseorang pemimpin (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2009).
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JKIM) (2009), juga mengingatkan bahawa kekuatan pengaruh kepimpinan dalam Islam adalah berkait rapat kepada sejauhmana niat dan keikhlasan kepimpinan dalam menegakkan kedaulatan Islam  selain daripada menyeru agar pemimpin Islam dan umatnya memartabatkan kedudukkan Islam sebagai agama yang paling baik di muka bumi ini. Menurut  JKIM (2009), pengkaji sains politik gaya kepimpinan yang dianggap paling berkesan adalah gaya kepimpinan transformasi iaitu gaya kepimpinan yang mampu membuat perubahan  dan pembaharuan kepada pengikutnya dan Nabi Muhammad s.a.w adalah contoh seorang pemimpin gaya transformasi yang paling berjaya di dunia di mana beginda berjaya menukar gaya hidup jahilliah daripada kufur kepada beriman, permusuhan kepada persaudaraan, kekejaman kepada kasih sayang, pemalas kepada bangsa yang rajin dan sebagainya.
Ahmad bin Haji Ismail (2011) telah menyenaraikan beberapa tokoh pemimpin dalam Islam  sebagai contoh tauladan yang baik bagi pemimpin Islam yang unggul khasnya dan umat Islam keseluruhannya ialah  Rasulullah  s.a.w di mana beliau merupakan pemimpin yang yang mendapat wahyu dari Allah S.W.T. Pengikutnya telah dipimpin dan dibentuk melalui tauhid, berdasarkan usaha dakwah yang berterusan. Rasulullah s.a.w juga berjaya membina tapak wilayah Islam yang unggul di Madinah, Habsyah dan Taif di samping telah memperkenalkan perlembagaan bertulis yang pertama di dunia iaitu perlembagaan Madinah. Rasullah dalam kepimpinanya juga mengutamakan syura dalam pengurusannya selain menjadi hakim dan ketua penglima perang.
Selain itu, tokoh pemimpin Islam di zaman Khulafa ar-Rasydin ialah empat orang khalifah yang terawal di mana mereka merupakan pemimpin dan sekaligus sebagai pelindung kepada dakwah Islam di mana dalam pemerintahan mereka masih menjalankan pemrintahan berdasarkan undang-undang syariah, bersumberkan Al-Quran , Al-sunnah, Ijma’ dan majlis syura dan ijtihad khalifah. Di samping itu pemerintahan dan kepimpinan mereka juga berdasarkan prinsip politik antaranya keadilan, kebebasan, persamaan dan hak asasi manusia tanpa mengira kaum dan agama. Selain itu, pemikir Islam  seperti Al Farabiv yang menulis dalam bukunya bertajuk Madinah al-Fadilah (Kota Unggul) menegaskan sifat-sifat pemimpin berkesan yang mana beliau menekankan kualiti kepimpinan utama seharusnya merupakan orang yang terbaik berasaskan sejumlah sifat-sifat kepimpinan, baik sifat-sifat yang tabii mahupun sifat-sifat yang dipelajari.
Manakala Al-Mawardiv dalam kitab al Ahkam al-sultaniyyah menasihatkan pemimpin agar mentadbir berdasarkan petunjuk Al-Quran dan Al-sunnah dan menyentuh aspek mengenai imamah antaranya ialah pemerintah mestilah memenuhi tujuh syarat seperti keadilan, ilmu pengetahuan agama yang mantap, kesihatan jasmani, kesihatan mental, keberanian, kesanggupan menjalankan jihad terhadap musuh-musuh negara dan berketurunan Quraish. Bagi Al-Ghazaliv seorang  tokoh ilmuwan dalam kitab al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Mulk menggariskan khalifah atau pemimpin  perlu menyedari pentingnya jawatan yang disandang dan beratnya tanggungjawab yang dipikul, menggalakkan pemimpin agar menjalin hubungan dengan golongan ilmuwan, serta menghidarkan kezaliman, melayani keperluan orang lain, tidak angkuh dan menindas orang lain, perihatin, penyayang, memberi kepuasan kepada pengikut mengikut batas-batas yang ditentukan syara’ dan melarang menyokong perkara yang bertentangan dengan syara’.
Bagi Ibn Khaldun pula merupakan orang pertama memberikan perspektif sosial  kepada pentadbiran dan pengurusan dalam kerya beliau bertajuk Muqaddimah yang membahaskan tentang tamadun manusia dan membicarakan sistem pemerintahan berkhalifah dan sistem beraja seperti melantik Imam atau ketua adalah wajib yang kewajipannya diketahui dari agama, ijma’ para sahabat dan Tabii’in seperti mana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ketika wafat segera melantik dan membai’ah Abu Bakar dan menyerah kepadanya urusan untuk mengatur urusan mereka dan amalan ini diikuti oleh khalifah seterusnya.
Tey (2010) menyatakan pengurusan konflik menurut perspektif Islam menurut Dr Iqbal Unus telah menyarankan satu model SALAM dalam pengurusan konflik sebagai satu panduan  dan pendektaan yang diguna pakai dalam kepimpinan;
S          =          State the conflicting view;
A         =          Agree that a conflict exists;
L          =          Listen for any and learn (about) the difference;
A         =          Advise one another; and
M         =          Minimize areas of disagreement that could lead to aggression or 
                       withdrawal
Manakala untuk mencegah konfliks dari menjadi kronik serta menghalang kepada kefungsian sesuatu pengurusan Dr Iqbal mencadangkan formula S-N-T iaitu S untuk syura (consultation), N untuk Naseeha (Advice) dan T untuk Ta’wun (cooperation). Menurut Tey (2010), walaupun model dan formula ini berdasarkan keislaman tetapi ianya boleh dipraktikan secara universal dalam kepimpinan. Ini menunjukkan bahawa konsep dalam kepimpinan Islam juga mendapat perhatian dan boleh diamalkan oleh mana-mana pihak yang bukan berlandaskan agama Islam.
Sebagai kesimpulan adalah jelas bahawa kepimpinan dalam Islam adalah wajib. Islam melihat tanggungjawab pemimpin adalah sangat berat dan perlu dipikul dengan sifat-sifat terpuji berlandaskan Al-Quran dan Al-Hadis serta ijma’ ulamak kerana ianya merupakan amanat Allah yang perlu dilaksanakan dengan sedaya upaya. Rasulullah s.a.w telah dijadikan sebagai contoh pemimpin agung di dunia dan kepimpinan beliau telah meletakkan umat Islam sebagai umat paling unggul dan disegani.


Rujukan
Ahmad bin Haji Ismail (2011).Konsep kepimpinan dalam Islam. Usrah MUAFAKAT yang diadakan pada 15 februari 2011. Http://muafakatmalaysia.files.wordpress.com/2011/02/muafakat_usrah_kertas_kepimpinan_islam.pdf.
Azril Mohd amin (2005). Melahirkan kepimpinan Unggul: Pelan Tindakan dan Strategi. Kertas kerja dibentangkan di kursus Kepimpinan Perdana di Kaherah pada 15 & 16 November 2005.
Haji Dahari Haji Derani (n.d). Kepimpinan. Nota kuliah. Malaysia:UTM
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (2009). Kepimpinan adalah tanggungjawab bukan satu keistimewaan. Khutbah Jumaat 3 April 2009. Malaysia: JKIM.
Tey,B. S. (2010). Get Real, Young Manager. Malaysia: Leeds Publications.



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hosted Desktop