Selasa, 1 Mei 2012

Kesedaran lelaki tentang barah payu dara

Kesedaran lelaki tentang barah payu dara

SALAH satu kebimbangan utama wanita Malaysia jika disahkan menghidap kanser payu dara ialah kemungkinan mereka ditinggalkan atau diabaikan oleh suami mereka.
Kebimbangan ini lazimnya menyebabkan mereka keberatan untuk menjalani pemeriksaan kanser payu dara secara berkala.
Justeru, diagnosis dibuat hanya di peringkat akhir di mana dalam keadaan ini, kejahilan nyata membawa kemudaratan sedangkan kanser payu dara terus menjadi kanser paling utama di kalangan wanita di Malaysia.

Mengikut perangkaan seorang daripada 19 wanita disahkan menghidap kanser payu dara apabila mencecah usia 85 tahun dan kira-kira 4,000 wanita disahkan sebagai penghidap kanser ini setiap tahun yang kebanyakannya berusia antara 35 hingga 60 tahun.
Satu jalan penyelesaian ialah pengesanan penyakit ini pada peringkat awal kerana ia boleh menyelamatkan nyawa.
Hasil penyelidikan tempatan menunjukkan bahawa golongan wanita di negara ini kemungkinan besar menjalani pemeriksaan payu dara jika pasangan mereka memberi sokongan.
Justeru projek MenCare, yang dilancarkan pada 2006 oleh Majlis Kebangsaan Pertubuhan (NCWO) dan Pfizer (Malaysia) merupakan satu inisiatif luar biasa yang melibatkan kaum lelaki untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan payu dara.
MenCare berhasrat melibatkan penyertaan dan menyeru kaum lelaki agar memberi sokongan kepada pasangan mereka dengan meningkatkan peluang penyembuhan menerusi pengesanan awal.
Buku terbitan khas MenCare yang dilancarkan baru-baru ini menandakan satu mercu kejayaan penting dalam perjuangan berterusan MenCare selama lima tahun.
Buku ini diterbitkan untuk bacaan ringan dan santai, membolehkan isu berkaitan kanser payu dara dibentangkan dengan cara yang mudah difahami.
Buku ini merakamkan pengalaman wanita yang berjaya 'menundukkan' kanser dan mendapatkan kasih sayang suami, memberikan maklumat mengenai pemeriksaan kanser payu dara, tanda dan gejala yang perlu diperhatikan.
Sementara itu, blog MenCare (www.mencare-bc.blogspot.com) pula yang dilancarkan serentak, dilihat memberi landasan sokongan dalam talian bagi kaum lelaki dan wanita.
Ia berfungsi sebagai forum bagi lelaki, wanita, belia dan pesakit yang berjaya menangani penyakit ini untuk berkongsi pengalaman, maklumat dan kisah inspirasi di samping membina sebuah masyarakat penyokong MenCare.
Semasa berucap di majlis pelancaran buku MenCare, Timbalan Presiden NCWO, Datuk Ramani Gurusamy, menyeru kaum lelaki Malaysia untuk memainkan peranan dalam usaha ini.
"Memang tiada jalan lain. Sokongan lelaki terhadap pemeriksaan kanser payu dara wanita adalah amat penting. Kita perlu mengubah sikap kita dengan hanya bertumpu kepada pesakit.
"Kami di Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita percaya bahawa wanita perlu diperkasakan lagi menerusi sokongan kepada keluarga, masyarakat dan rakan-rakan," katanya.
Menurutnya, melalui program tersebut pelbagai kegiatan dirancang termasuk merangka manual latihan dan buku panduan untuk pemberi khidmat penjagaan.
Katanya, gerakan ini telah berusaha menggunakan setiap saluran yang ada untuk memberi sokongan kepada wanita dan membanteras kanser payu dara.

Sumber:  http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hosted Desktop