Selasa, 1 Mei 2012

Memperkasa minda remaja

MINDA atau akal adalah sesuatu yang amat penting bagi remaja. Ia adalah alat berfikir mendapatkan maklumat. Ia adalah sumber penting menjana ilmu. Dari minda ia memiliki upaya kognitif melakukan sesuatu dengan rasional dan logik.
Berfikir rasional yang dipandu dengan etika yang baik bakal memperkasa jalur berfikir remaja. Al-Quran memberi pedoman tentang pentingnya minda itu diperkasakan. Al-Quran menyebut tentang afala ta'qilun (tidakkah kamu menggunakan akal), juga afala tatafakkarun (tidakkah kamu mempunyai daya fikir) serta afala yatadabbarun (tidakkah kamu kaji selidik).
Asas-asas ini penting bagi remaja kerana berfikir itu tidak sahaja suatu aktiviti minda tetapi ia dipedoman dengan etika.

Minda perkasa
Memperkasa minda remaja mestilah dengan data, fakta, maklumat yang sahih dan juga ilmu yang benar. Cara begini boleh membentuk pola berfikir remaja yang lebih sistematik dan mampu berfikir yang sifatnya menyumbang.
Dalam keadaan lain, remaja juga menggunakan minda untuk maksud-maksud tertentu. Tetapi minda yang tidak ditunjangi dengan nilai-nilai rohaniah dan etika, ia tidak mampu memberi pedoman berfikir kepada remaja.
Berfikir hanya semata-mata berfikir, sifatnya mekanistik. Berfikir menggunakan minda untuk mencari kebenaran dan kebaikan mestilah disertai dengan etika dan nilai.
Berfikir secara duniawi hanya sekadar berlegar kepada hal-hal yang tampak. Berfikir secara rohani dan etika yang tinggi menghubungkan diri dengan perkara-perkara yang ghaib seperti Allah, dan memberi pedoman kepada kehidupan.
Pemerkasaan minda remaja harus bermula dengan rasa ingin tahu yang tinggi. Ia harus terarah untuk menghubungkan minda dengan sumber-sumber yang benar dan bermanfaat.
Menghubungkan minda dengan faktor-faktor persekitaran dan fenomena yang terjadi, sifatnya membatasi. Tetapi menghubungkan minda kepada sumber-sumber pedoman daripada Allah SWT iaitu al-Quran memberi remaja suluh dan cara.
Suluh bermaksud jalur berfikir remaja tidak sahaja faham terhadap yang nyata tetapi meyakini terhadap yang ghaib.
Tautan yang nyata dengan yang ghaib bakal mengolah cara berfikir yang seimbang. Fokus berfikir tidak sahaja ditumpukan kepada hal-hal duniawi tetapi juga perkara yang bersifat ukhrawi.
Pemikiran remaja masa kini banyak terarah kepada hal-hal yang popular dan tidak semestinya benar dan bermanfaat. Berfikir secara zahiri menyebabkan minda remaja terbatas. Justeru, berfikir secara zahiri dan batini memberikan asas kefahaman yang tinggi.
Melihat cakerawala di langit, menghubungkan minda dengan kuasa Allah sebagai pencipta dan mengaturkan perjalanannya. Melihat manusia tidak sekadar tubuh badan secara fizikal tetapi manusia itu memiliki hati dan rasa, rohani dan jiwa untuk diberikan kejernihan terhadap peranannya.
Oleh itu, minda yang terbangun dengan faktor zahiri semata sifatnya tidak lengkap. Faktor batini harus dijadikan landasan penting berfikir remaja supaya perspektif yang diambil sifatnya seimbang.
Berfikir cara Barat umpamanya, sifatnya mekanistik. Mekanistik bermakna sumber-sumber data dikaji, difikir dan diteliti secara minda semata-mata, tetapi pemikiran yang seimbang merujuk kepada sumber daripada pencipta bagi membantu kita memahami fenomena dan keadaan, talian hubungan yang nyata dengan yang ghaib.
Daripada situ remaja memiliki cara berfikir yang berkualiti dan seimbang serta minda remaja menjadi perkasa. Disebabkan sesetengah para remaja tidak berfikir secara seimbang, hal-hal yang dibicarakan di kalangan remaja bersifat remeh-temeh, popular dan tidak memberi bekas kepada pemikiran, hati dan jiwa. Cara begini menyebabkan minda remaja selalu longlai, tidak bertenaga dan tidak memberi kesan kepada diri dan amalan.
Nilai dalam berfikir
Minda yang baik bagi remaja ialah berdasarkan dapatan yang sahih, kajian yang telus dan sesuatu yang lain yang memberi manfaat. Berfikir sekadar berfikir tanpa pedoman nilai, tidak memberi arah kepada aktiviti mental.
Pemikiran yang didukung oleh nilai yang benar dan bermanfaat menjadikan aktiviti mental terserlah. Sifat minda yang ada sering memandu pemikiran, daya intelek dan kekuatan akliah.
Berfikir sekadar berfikir tanpa dipedoman oleh nilai selalunya kelihatan hampa dan kosong. Ia tidak menyumbang kepada lahirnya ilmu yang berkualiti dan mensejahterakan.
Oleh itu, minda remaja harus diaktifkan dengan asas-asas kemahiran berfikir. Berfikir secara kritikal, kreatif, lateral, strategik dan futuristik amat perlu bagi remaja kerana ia meletakkan remaja dalam keadaan berfikir yang baik, mampu melakukan respons terhadap peristiwa dan kejadian, fakta dan data serta akhirnya mampu menghubungkan semua itu dengan sumber agung iaitu al-Quran.

 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hosted Desktop