PENGARUH DAN JALINAN RANGKAIAN DALAM KEPIMPINAN
Merikan aren
mbarsu64@yahoo.com
Suasana organisasi memainkan peranan penting dalam menentukan keharmonian dan kejayaan serta kecemerlangan organisasi. Suasana sama ada harmoni atau kacau bilau adalah adalah hasil bagaimana seseorang pemimpin itu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin. Oleh itu, kita selalu mendengar tentang ada pemimpin yang disegani, disanjung , diagung-agungkan oleh ahli organisasi sama ada pihak atasan atau bawahan. Selain daripada itu, ada juga pemimpin yang dimaki seranah, dibenci dan dihina, menjadi bualan dan tidak mendapat kepercayaan dan keyakinan daripada anggota organisasi. Suasana ini akan bertambah rumit jika hubungan ini dibiarkankan berlaku tanpa usaha oleh pihak kepimpinan. Akhirnya iklim kerja yang tidak baik ini akan mendatangkan komplikasi negatif terhadap organisasi dan seterusnya akan menjatuhkan reputasi seseorang pemimpin dan perkhidmatan serta produk yang dihasilkan.
Justeru itu, kita sering melihat dalam organisasi suasana seperti anggota berpuak- puak atau berkumpulan saling tidak bertegur-sapa, cemburu menceburi dan lebih parah ada yang tidak berinteraksi atau bertegur-sapa di antara satu sama lain. Masing-masing sering menyalahkan pihak lain. Sehubungan dengan itu kepimpinan perlu tahu bagaimana mengatasi dan mengenal pasti suasana kerja di organisasinya. Ini penting bagi memastikan hubungan atau jalinan kerjasama anggota terjalin erat bagi mencapai objektif organisasi. Seorang pemimpin perlu peka kepada suasana politik atau apa yang berlaku di organisasinya. Oleh itu, peranan pengaruh, kuasa dan membina hubungan jalinan itu amat penting dalam setiap organisasi. Maka peranan ini perlu dimainkan oleh setiap pemimpin.
Menurut Zenger dan Folkman (2005) menjelaskan bahawa kebanyakan organisasi hanya dapat menggunakan sedikit sahaja potensi pekerja mereka pada hal sebenarnya pekerja boleh mencapai prestasi kerja yang jauh lebih tinggi jika organisasi mencipta suasana yang sesuai. Oleh itu, setiap pemimpin perlu mengambil berat terhadap membangunkan kemahiran kepimpinan mereka bukan sahaja membaiki gaya kepimpinan dan trait personaliti atau tingkah laku kepimpinannya tetapi juga dapat membina suasana kerja yang lebih harmoni.
Manning dan Curtis (2009) menyatakan bahawa kepimpinan merupakan kuasa pengaruh yang menyempurnakan tanggungjawab. Ini adalah kerana kuasa pengaruh pada seseorang ketua atau pemimpin menjadi tunggak kepada dasar gaya kepimpinan seseorang pemimpin tersebut. Tanpa pengaruh seseorang pemimpin tidak akan dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan. Oleh yang demikian seorang pemimpin itu harus mempunyai kemahiran dan pendekatan bagaimana untuk mempengaruhi pengikutnya.
Heath (2010) juga menjelaskan bahawa seseorang pemimpin yang mempunyai pengaruh yang luar biasa hendaklah mengetahui suasana politik di dalam organisasinya. Sekiranya seseorang pemimpin mengetahui segala yang berlaku di dalam organisasinya dia akan lebih mudah mempengaruhi pengikutnya. Contohnya membina hubungan yang baik dan memberi kepercayaan kepada orang penting dalam organisasi. Untuk itu pemimpin perlu ada jalinan hubungan yang baik. Untuk mencapai jalinan hubungan yang baik ini pemimpin itu harus mempunyai komunikasi yang yang efektif.
Untuk mengetahui situasi politik dalam sesuatu organisasi, Heath (2010) menggariskan beberapa langkah antaranya:
1) Jadi diri sendiri sebenar dengan mempamirkan integriti, keberanian, keunggulan dan kepercayaan kepada semua peringkat staf.
2) Membina jalinan hubungan dengan semua staf yang berada di sekeliling dengan jujur dari segi masa dan kepakaran yang ada.
3) Berhati-hati dengan tindak balas lisan di mana pemimpin harus tahu bagaimana untuk memberi maklumat atau maklumbalas dengan lebih efektif tanpa mengecewakan orang lain bagi merapatkan hubungan.
4) Berkomunikasi dengan gaya komunikasi yang sepatutnya dengan orang atasan dan bawahan dengan tahap yang sama.
5) Dapatkan kemahiran untuk mempengaruhi seseorang dengan mengenali kaedah atau pendekatan yang sesuai dan tidak sesuai bagi mempengaruhi seseorang. Selain itu membina hubungan yang baik dengan mereka yang penting dalam menjayakan matlamat organisasi.
6) Memberi perhatian kepada yang lain-lain iaitu dengan memahami apa yang telah terjadi atau berlaku yang menyebabkan seseorang itu bersemangat ataupun menyebabkan suasana yang dingin dengan memahami interaksi apabila interaksi yang berlaku serentak.
Selain itu, Manning dan Curtis (2009) menerangkan bahawa pemimpin yang berjaya mesti dapat menguasai tiga elemen dalam cara mempengaruhi staf organisasinya. Antaranya ialah dengan (1) memahami orang lain, (2) menggunakan perkataan yang efektif dan (3) boleh mengurus konflik.
Sementara itu Heath (2010) juga menyarankan enam teknik bagaimana mempengaruhi orang lain dalam organisasi yang dipimpin. Seseorang pemimpin itu haruslah jelas dengan apa yang dia mahukan dari seseorang agar mesej yang diinginkan akan dapat mencapai matlamat yang disasarkan. Pemimpin juga harus member kepercayaan kepada rakan atau stafnya dan sentiasa berintraksi dengan orang jika ingin mempengaruhi mereka. Di samping itu pemimpin hendaklah memotivasi sepenuhnya dengan tingkah laku yang boleh menguntungkan dengan memberi gambaran hasil yang positif. Dengan memahami objektif seseorang dan matlamat jangka panjang akan dapat mewujudkan gaya kerja berpasukan dan seterusnya mewujudkan suasana menang-menang.
Untuk mencapai jalinan hubungan yang baik dan berkesan (Heath (2010) menyenaraikan beberapa tip yang boleh diamalkan pemimpin antaranya ialah dengan menentukan diri anda sebagai matlamat hubungan, membina kepercayaan, banyak bertanya daripada memberi jawapan, sentiasa berada dalam keadaaan positif, bersikap jujur dan sentiasa memperkenalkan diri kepada mereka yang suka menyendiri.
Kenyataan ini disokong oleh kajian oleh Fatokun, Salaam dan Ajeqbomogun (2010) dalam kajian bertajuk The influence of leaderhip style on the performance of subordinate in Nigerian Libraies di mana mereka mendapati hubungan di antara pemimpin dan pengikutnya adalah selalu berintraksi pada masa lapang (46.6%), kekerapan staf bergaul (62.5%), maklum balas positif terhadap keperluan staf (54.2%) dan maklum balas positif kepada keperluan rasmi (63.9%). Dari hasil kajian ini menujukkan hubungan dan jalinan serta pengaruh kepimpinan itu dapat mewujudkan suasana kerja yang kondusif dan boleh mencapai matlamat organisasi.
Sebagai kesimpulan, kejayaan seseorang pemimpin dan kepimpinan sesebuah organisasi itu adalah bergantung kepada bagaimana pemimpin tersebut menjalankan kuasanya, mempengaruhi dan membina jalinan hubungan di antara staf dan pihak kepimpinan dengan menggunakan kaedah atau pendekatan yang tepat dan efektif. Seperti mana yang dikatakan oleh Zinger dan Folkaman (2005) “Kombinasi hebat dapat menghasilkan dapatan eksponnential”.
Rujukan
Fatokun, J. O., Salaam, M..O & Ajeqbomogun, F. O. (2010). The influence of leadership style on the perform,ance of subordinate in Negerian libraries. Library Philosophy and Practice.
Heath, M. (2010). Leadership Secrets.London: harper Collins publisher.
Manning, G. & Curtis, k. (2009). The art of Leadership ( 3th Ed). New York: McGraw Hill.
Zenger, J. H. & Folkman, J. (2005). Panduan Untuk Pemimpin. 24 pengajaran bagi kepimpinan luar biasa. (Edisi Bahasa Melayu). Malaysia: McGraw Hill.
0 ulasan:
Catat Ulasan