Sabtu, 24 Mac 2012

Trait dan Etika Pemimpin

TRAIT DAN ETIKA PEMIMPIN
Merikan Aren
mbarsu64@yahoo.com
Setiap organisasi tidak akan wujud tanpa seorang ketua. Ketua atau pemimpin merupakan tunggak penting bagi menentukan kejayaan dan kecemerlangan sesebuah organisasi.  Sesebuah organisasi tidak akan berjaya mencapai objektif dan matlamatnya tanpa kepimpinan yang baik dan berkesan.  Tanggungjawab seorang ketua atau pemimpin itu adalah sangat berat dan tidak semudah yang disangkakan. Justeru, seorang ketua yang baik dan berkesan bukan sahaja mempunyai daya kepimpinan tetapi juga pengurus yang berkelibar.
Oleh yang demikian,  menurut Manning dan Curtis (2009) untuk mencapai kejayaan dalam kepimpinan atau untuk menjadi seorang ketua yang cemerlang seseorang ketua perlu mempunyai kebolehan bagaimana untuk memikat hati semua orang, memotivasi dan menggalakkan mereka  mencurahkan segala keupayaan dan komitmen mereka dengan cara yang terbaik serta menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi.
Persoalan yang sering menjadi perbincangan dalam bidang kepimpinan adalah adakah seorang pemimpin itu dilahirkan atau dibentuk. Banyak pendapat mengatakan bahawa pemimpin itu dilahirkan dan sesetengah pandangan mengatakan bahawa sifat-sifat kepimpinan itu perlu dibentuk dan diperolehi melalui pendidikan rasmi atau pengalaman (Johannsen, 2010). Walaupun berbagai pandangan mengenai perkara ini, namun seseorang ketua harus mempunyai trait atau sifat-sifat yang membolehkan dia menjadi seorang pemimpin yang disegani baik disedari ataupun tidak disedari oleh seseorang. Trait ini juga sebenarnya boleh dipelajari dan sterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian yang menjadikannya satu amalan atau perangai yang akan menjadi amalan dan sikap kepada individu tertentu. Hal ini seterusnya memberi gambaran dan membentuk identiti atau personaliti kepada seseorang yang akhirnya akan menjadikannya satu daya tarikan yang akan memertabatkan seseorang itu menjadi seorang ketua ataupun pemimpin.
Selain dari gaya kepimpinan, faktor persekitaran dan keupayaan pengikut atau orang bawahan, trait merupakan salah satu komponen yang amat penting yang harus ada pada seseorang pemimpin. Manning dan Curtis (2009) dalam buku mereka bertajuk The Art of Leadership menyenaraikan beberapa  trait dan kualiti kepimpinan antaranya; Bersemangat, berwawasan, berkebolehan, mantap, prihatin, berkeyakinan, berterusan, berkrisma, berintegriti, daya tahan yang tinggi iaitu sabar dan tabah.
Berdasarkan trait yang dinyatakan tersebut maka seseorang pemimpin itu harus berpandangan jauh iaitu dapat melihat dan merancang matlamat organisasi dengan jelas seperti mana mantan perdana menteri Malaysia Tun Dr Mahathir yang menjadikan Wawasan 2020 sebagai tunggak hala tuju kepimpinannya manakala Yang Amat berhormat Datuk Sri Najib Abdul Razak dengan konsep Satu Malaysia. Selain itu pemimpin harus mempunyai keupayaan dalam meneraju organisasi yang dipimpinnya sebagai satu dasar kukuh untuk mendapat kepercayaan dalam menerajui sesebuah organisasi. Selalunya pengikut akan taat dan patuh jika pemimpin mereka menunjukkan keupayaan yang luar biasa dan mencapai standard yang tinggi dalam prestasi kepimpinannya seperti mendapat pengiktirafan dunia  seperti pengiktirafan oleh Arab Saudi ke atas Tun Abdullah Bedawi dalam misinya memertabatkan Agama Islam di tahap antara bangsa dalam kepimpinannya. Pemimpin yang beritegrasi dan mempunyai sahsiah yang tinggi seperti berkeyakinan, asertif, melaksanakan apa yang dicakap, rajin dan sabar selalunya dihormati dan disegani bukan sahaja oleh  orang bawahannya tetapi semua pihak yang berurusan dengannya.
Selain trait seseorang ketua atau pemimpin juga harus mengetahui apa itu etika dalam kepimpinan. Etika ini amat penting bagi mengawal tingkah laku dan hala tuju seseorang  ketua dalam kepimpinannya. Menurut Manning dan Curtis (2009) etika ini penting kerana ianya merupakan falsafah yang akan menentukan sama ada sesuatu itu betul atau salah  atau baik atau buruk sesuatu perkara yang dilakukan oleh pemimpin. Oleh itu, jika seseorang mempunyai trait yang baik dan layak menjadi pemimpin maka secara tidak lansung ianya akan menjadi pedoman dan garis panduan kepada pemimpin tersebut dalam membuat tindakan atau penyelesaian masalah. Selalunya pemimpin yang mempunyai trait yang baik dan sempurna akan tidak menyalahi etika kepimpinan dan biasanya mendapat sanjungan dari orang bawahan dan orang ramai. Secara tidak lansung ini akan menaikkan statusnya sebagai pemimpin yangberwibawa dan disegani.
Menurut kajian Growing Global Executive Talent pada tahun 2008 oleh DDI menyokong bahawa trait dan etika memainkan peranan penting dalam menentukan kemahiran kepimpinan seseorang di mana dapat kajian tersebut mendapati komponen dalam trait kepimpinan individu seperti keupayan memmtivasi pasukan (34.7%), dapat menjalankan tugas dengan pelbagai budaya (33.5%), membangunkan sifat semulajadi (25.7%) dapat membuat keputusan (23.8%), keupayaan mengatur strategi (23.81%) kreativiti dan inovasi (22.8%) manakala yang berhubung dengan etika adalah 16% dan selebihnya adalah berkaitan dengan sahsiah diri, kemahiran interpersonal dan personal dan lain-lain (Johannsen, 2010).
Sehubungan dengan itu, untuk mencapai kepimpinan yang cemerlang seseorang ketua atau pemimpin seharusnya mempunyai trait yang  baik dan sesuai bagi menjadikannya seorang ketua di samping berpegang teguh kepada peraturan dan kod etika sesuatu organisasi atau pertubuhan di mana beliau selaku pemimpin. Menurut Walker (2005) menjelaskan bahawa pemimpin yang berpegang teguh kepada kod etika akan dapat memertabatkan dirinya dan jika seseorang pemimpin tidak mengamal atau melanggar kod etika yang telah ditetapkan sama ada yang telah ditentukan atau etika sebagai seorang individu dalam masyarakat maka sudah tentu imej atau kreadibiliti beliau sebagai pemimpin akan terjejas. Contohnya banyak pemimpin yang mulanya disanjung dan dihormati seluruh masyarakat dunia jatuh kerana masalah peribadi seperti pecah amanah, skandal seks, rasuah dan hilang kepercayaan.
Menurut Adair (2009), untuk mendapat ketua atau kepimpinan yang disegani maka para pengikut seharusnya melihat seseorang yang hendak dilantik sebagai ketua atau pemimpin  hendaklah dilihat sama ada dia mampu diangkat sebagai seorang ketua, berpengetahuan sesuai dengan matlamat organisasi, bijak mengurus masa, bijak mengendali dan merancang serta mengawal sesuatu serta boleh menilai sesuatu dengan berdasarkan pencapaian. Oleh itu, ketua dan pengikut perlu memainkan peranan penting dalam menentukan siapakah yang layak menjadi pemimpin dalam sesuatu organisasi.
Sebagai kesimpulan, trait dan etika memainkan peranan penting dalam menentuikanm kecemerlangan seseorang pemimpin. Trait yang baik dan diaplikasi dengan betul dan selalu berpegang teguh pada etika kepimpinan dan pengurusan selalunya membawa kejayaan kepada pemimpin itu sendiri dan organisasi yang dipimpinnya. Oleh itu dalam memilih pemimpin trait dan etika merupakan tunggak penting yang harus diambil kira sebelum seseorang itu dilantik atau diangkat sebagai pemimpin kerana itu yang akan menentukan keupayaan mereka untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin.

Rujukan
Adair, J. (2009). Effective Leadership: How to be a successful leader. UK: Gower Publishing Ltd.
Manning, G. & Curtis, K. (2009). The Art of Leadership. New York: McGraw-Hill International Edition.
Johannsen, M. (2010). Leadership development: A guide for individuals. A unit of knowledge.
Walker, C. A ( 2005). Effective Leadership; Twelve words to lead by, Twelve Words to live by. United State of America:



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hosted Desktop