Khamis, 26 April 2012

Apa itu kanser?

Apa itu kanser?

Barah adalah sejenis penyakit yang berkaitan dengan sel dalam badan. Biasanya, sel ini akan bertambah mengikut aturannya bagi membolehkan tumbesaran badan dan pemulihan selepas berlakunya kecederaan. Namun ada kalanya sel ini bertambah secara tidak normal menyebabkan berlakunya ketumbuhan atau juga dikenali sebagai tumor.


Tumor boleh dikategorikan sebagai bukan barah (benign) ataupun barah (malignant). Tumor bukan barah tidak merebak ke bahagian tubuh badan yang lain. Barah pula terdiri daripada sel-sel barah yang sekiranya tidak dirawat boleh merebak ke bahagian tubuh badan yang terdekat. Kadangkala sel barah yang terpisah dari tempat asal (primer) ketumbuhan boleh bergerak dan merebak ke organ yang lain.

Apabila sel ini sampai ke bahagian tubuh badan yang lain, ketumbuhan baru boleh terjadi di organ tersebut. Keadaan barah merebak ini adalah dikenali sebagai barah sekunder atau metastasis. Perkataan barah juga boleh digunakan dalam keadaan pertambahan sel yang tidak normal tetapi tidak diikuti dengan ketumbuhan atau tumor. Ini adalah seperti yang berlaku dalam penyakit yang melibatkan sel penghasilan darah iaitu penyakit leukimia.
Rawatan Barah
Rawatan barah adalah bergantung kepada jenis barah, bahagian anggota tubuh yang dihidapi barah dan juga sekiranya barah telah merebak. Malah faktor jenis rawatan barah ini juga dipengaruhi oleh umur pesakit. Kebanyakkan barah dirawat secara pembedahan, radioterapi (terapi sinar-X) atau kemoterapi. Satu atau lebih cara mungkin digunakan dalam merawat pesakit yang menghidapi barah.
 
Apa itu kemoterapi?
Kemoterapi adalah ubat-ubat yang digunakan untuk merawat barah dengan cara membunuh sel barah. Ubat kemoterapi ini berfungsi dengan cara menghalang sel barah daripada terus membahagi dan bertambah. Sel barah tersebut akhirnya rosak dan mati. Memandangkan ubat tersebut disuntik ke dalam darah, ubat tersebut juga boleh membunuh sel barah di bahagian tubuh yang lain.

Ubat kemoterapi yang berlainan mempunyai kesan yang berbeza terhadap sel barah. Oleh yang demikian gabungan beberapa ubat mungkin digunakan untuk memberi kesan rawatan yang terbaik. Namun begitu, ubat kemoterapi ini turut memberi kesan kepada sel-sel badan yang normal dan ini menyebabkan beberapa kesan sampingan terjadi. Berbeza dengan sel barah, sel yang normal boleh bertambah dengan kadar segera menyebabkan kesan sampingan yang berlaku hanyalah bersifat sementara. Malah kesan sampingan ini akan hilang sebaik sahaja rawatan kemoterapi tamat.

Pada kebanyakan keadaan, beberapa ubat kemoterapi diberikan serentak kepada pesakit. Hanya dalam kes-kes tertentu, sejenis ubat kemoterapi sahaja yang digunakan dalam rawatan.
Mengapa rawatan kemoterapi diberikan?
Tujuan rawatan kemoterapi adalah untuk menyembuhkan, mengawal penyakit barah atau mengurangkan gejala penyakit barah.

Tempoh rawatan dan kekerapan rawatan adalah bergantung kepada jenis barah dan ubat yang digunakan. Secara amnya, rawatan kemoterapi diberikan dalam tempoh enam hingga 12 bulan walaupun adakalanya ianya boleh diberikan dalam tempoh yang lebih singkat atau lebih panjang. Individu adalah digalakkan untuk berbincang dengan doktor yang merawat.
 
Bagaimana kemoterapi dilakukan?
Ubat kemoterapi mestilah memasuki salur darah untuk sampai ke sel barah dalam tubuh badan. Ubat kemoterapi memasuki salur darah dengan segera sekiranya ia disuntik ke dalam salur darah. Sekiranya diberikan secara kaedah lain, ubat tersebut mestilah menyerap masuk ke dalam salur darah (contoh: ubat kemoterapi dalam bentuk biji yang dimakan dan diserap melalui dinding perut atau usus).

Ubat kemoterapi ini akan berada dalam sistem peredaran darah dan boleh memasuki serta memusnahkan sel-sel tertentu. Sel yang dipengaruhi oleh ubat kemoterapi adalah sel-sel yang bertambah dengan kadar segera seperti sel barah. Kadar kemusnahan sel barah adalah berbeza dan ianya bergantung kepada jenis barah itu sendiri.

Sel tubuh normal yang bertambah cepat juga boleh terganggu oleh kesan ubat kemoterapi tetapi sel-sel normal tersebut berkeupayaan untuk pulih dan bertambah semula berbanding sel barah.

Tempoh rehat di antara dua rawatan dapat memberi peluang kepada sel-sel yang normal pulih sebelum tiba masa rawatan yang selanjutnya.

Doktor yang merawat pesakit barah akan mengambil kira beberapa faktor dalam membuat perancangan rawatan kemoterapi kepada pesakit. Antara faktor penting tersebut adalah jenis barah, bahagian anggota tubuh yang dihidapi barah dan juga sekiranya barah telah merebak. Faktor lain yang perlu diambil kira adalah umur pesakit dan tahap kesihatan pesakit secara umumnya. Ini bermakna setiap pesakit berkemungkinan mendapat rawatan kemoterapi yang berbeza.

Kekerapan rawatan kemoterapi dan tempoh rawatan adalah bergantung kepada jenis barah, ubatan yang diberikan, tindakbalas sel barah terhadap ubat dan kesan sampingan ubatan.

Kemoterapi biasanya diberikan dalam beberapa tahap. Tempoh bagi setiap tahap rawatan mengambil masa beberapa jam hingga kepada beberapa hari bergantung kepada ubatan yang diberikan. Setiap tahap rawatan itu akan diikuti dengan tempoh rehat untuk beberapa minggu bagi membolehkan tubuh badan pulih daripada kesan sampingan rawatan. Jumlah keseluruhan tahap rawatan bergantung kepada tindak balas barah terhadap rawatan. Rawatan kemoterapi mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk merawat penyakit barah. Bagi sesetengah pesakit pula, mereka dikehendaki memakan ubat kemoterapi untuk beberapa minggu atau bulan sebelum diberikan tempoh rehat.

Pesakit mungkin diperlukan untuk menjalani ujian darah, sinar-X atau berjumpa dengan doktor sebelum diberikan rawatan kemoterapi dan ini sememangnya mengambil masa. Kesemua ubatan kemoterapi disediakan dengan cara tertentu dan pesakit mungkin perlu menunggu seketika sebelum memperolehi ubatan tersebut daripada Jabatan Farmasi hospital. Bagi membantu pesakit mengisi masa menunggu, mereka disarankan untuk membaca buku, surat khabar, melakukan silang kata atau menulis surat.
Perubahan dalam pelan rawatan.
Doktor yang merawat pesakit barah akan sentiasa melakukan pemeriksaan bagi memastikan tindakbalas barah terhadap rawatan kemoterapi. Bagi tujuan ini, pesakit diperlukan untuk menjalani ujian darah, sinar-X dan ujian imbasan. Hasil daripada ujian-ujian ini akan menunjukkan tahap tindakbalas barah terhadap rawatan kemoterapi. Kadangkala pelan rawatan perlu diubah berdasarkan keputusan ujian kerana ada masanya rawatan yang diberikan tidak memberi sebarang kesan seperti yang dikehendaki. Sekiranya pesakit mendapat kesan sampingan seperti rasa loya, ubat penahan muntah akan dibekalkan. Pesakit digalakkan untuk mengambil ubat penahan muntah sebelum mendapatkan rawatan kemoterapi yang berikutnya. Tanya doktor, jururawat atau ahli farmasi bagaimana anda perlu mengambil ubat yang ditetapkan.
 
Masalah usus
  • Sesetengah pesakit mungkin menghadapi masalah seperti sembelit atau cirit-birit (setelah diberikan rawatan kemoterapi). Mereka ini digalakkan untuk meminum lebih air bagi mengatasi masalah ini.
  • Sembelit boleh dielakkan sekiranya pesakit mengambil makanan berserat tinggi seperti roti gandum dan pasta , bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Bagi mengatasi masalah cirit-birit pula, pesakit dinasihatkan mengambil makanan dalam jumlah yang sedikit secara kerap berbanding memakan makanan dalam jumlah yang banyak. Ambil makanan yang bersuhu suam atau sedikit sejuk berbanding makanan yang panas atau telalu sejuk. Elak makanan yang pedas, makanan berserat yang kasar, makanan berlemak atau yang digoreng, berkuah atau bersos, sosej dan buah-buahan atau sayuran yang mentah, berkulit atau berbiji. Makan makanan snek yang bersesuaian seperti sup, roti bakar, biskut, keju atau nasi. Apabila cirit-birit telah sembuh, penting bagi pesakit untuk mengambil makanan yang seimbang meliputi buah-buahan segar, sayuran dan bijirin.
  • Pesakit perlu melaporkan masalah sembelit, cirit-birit atau sakit perut kepada doktor yang merawat.
Masalah mulut
  • Ubat anti-barah juga boleh memberi kesan kepada lapisan dalam mulut dan adakalanya menyebabkan luka / ulser atau jangkitan mulut. Penjagaan kebersihan mulut adalah penting bagi semua pesakit yang mendapat rawatan kemoterapi. Pesakit digalakkan menggosok gigi dua kali sehari dengan menggunakan berus gigi yang lembut. Pesakit mungkin dibekalkan dengan ubat kumuran bagi mengelakkan jangkitan mulut seperti jangkitan kulat.
    Pesakit tidak digalakkan mengguna ubat kumur komersil tanpa merujuk dengan doktor terlebih dahulu kerana ianya berkemungkinan merengsa lapisan dinding mulut. Penggunaan sesudu garam dalam segelas air suam juga boleh digunakan bagi tujuan yang serupa.
  • Jika mulut anda kering, banyakkan mengambil cecair, terutamanya air dan makanlah makanan lembut seperti kaserol. Makan juga buah-buahan masam atau gula-gula berangin. Bincangkan masalah pergigian anda dengan doktor. Maklumkan dahulu kepada doktor gigi anda yang sedang menjalani rawatan kemoterapi sebelum menjalani rawatan pergigian.
Rambut gugur
  • Keguguran rambut adalah disebabkan kesan sampingan sementara ubat pada rambut. Walaupun begitu tidak semua ubat kemoterapi menyebabkan keguguran rambut. Tahap keguguran rambut adalah bergantung kepada individu dan jenis ubat yang diberikan. Rambut baru akan tumbuh dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas rawatan kemoterapi diberikan.
  • Selain daripada keguguran rambut, pesakit juga mungkin kehilangan bulu pada bahagian anggota badan yang lain. Sekiranya pesakit dijangkakan akan menghadapi masalah keguguran rambut, penggunaan rambut palsu, topi atau skaf mungkin dapat membantu. Elakkan kulit kepala terdedah kepada sinar matahari atau keadaan sejuk yang melampau. Pesakit hendaklah menjaga kebersihan rambut dan kulit kepala. Sekiranya bulu mata turut gugur, gunakan kaca mata untuk melindungi mata. Pada hari yang berangin, anda perlu memastikan rambut dan kulit sangat bersih.
Rawatan bagi barah boleh mengubah persepsi pesakit terhadap dirinya dan hubungan dengan orang lain. Sesetengah pesakit menganggap barah tidak memberi apa-apa perubahan tetapi bagi sebahagian yang lain ia membuatkan hubungan dengan pasangan lebih rapat. Pesakit juga adakalanya mempunyai kurang minat dalam hubungan intim atau hubungan intim tidak penting lagi buatnya untuk sementara waktu.

Kesan sampingan kemoterapi seperti loya atau keletihan juga menjadi penyebab pesakit kurang berminat mengadakan hubungan seksual dengan pasangan. Malah perubahan fizikal badan menyebabkan pesakit merasakan dirinya kurang menarik di mata pasangan mereka. Adakalanya pesakit lelaki mempunyai masalah mati pucuk manakala bagi pesakit wanita mereka adakalanya mengadu mempunyai masalah faraj yang kering. Penggunaan KY Jelly sebagai pelincir boleh membantu dalam masalah kekeringan faraj. Sungguhpun begitu masalah ini hanyalah bersifat sementara dan ia biasanya pulih setelah rawatan tamat.

Sekiranya pesakit merasakan terdapat perubahan dalam hubungan intim, adalah digalakkan berbincang dengan pasangannya. Pasangan mungkin tidak menimbulkan hal tersebut berikutan kebimbangannya membuatkan pesakit berasa bersalah atau membuat permintaan yang melampau dalam keadaan pesakit yang tidak sihat.

Perbincangan yang terbuka antara pesakit dan pasangan boleh membantu menyakinkan perasaan pesakit akan keperluan berkasih-sayang dan memerlukan pasangan.
Walaupun pesakit mungkin tidak berminat dengan hubungan seksual, terdapat banyak cara untuk memastikan keintiman berterusan. Bersentuhan, berpelukan, bercium adalah antara aktiviti intim yang boleh dilakukan bersama sementara pesakit pulih secara perlahan untuk membolehkan hubungan seksual dilakukan seperti kebiasaan.
Kesuburan
  • Kemoterapi boleh memberi kesan sementara atau kekal kepada kesuburan pesakit. Pesakit wanita mungkin menghadapi kitar haid yang tidak teratur atau putus haid tetapi keadaan ini hanyalah bersifat sementara. Walaupun kebarangkalian untuk mengandung menurun berikutan rawatan kemoterapi, masih ada pesakit wanita yang hamil setelah tamat rawatan.
  • Bagi pesakit lelaki, rawatan kemoterapi boleh mengurangkan jumlah penghasilan sperma. Bilangan sperma dalam air mani boleh berkurang dalam jumlah yang sedikit atau dalam keadaan yang ekstrem - tiada penghasilan sperma. Kesan sampingan ini boleh bersifat sementara atau kekal. Sesetengah pesakit membuat keputusan untuk menyimpan sperma sekiranya ia diperlukan untuk kegunaan persenyawaan luar rahim kelak.
Merancang keluarga
  • Walaupun kadar kesuburan berkurangan berikutan rawatan kemoterapi, proses kehamilan masih boleh berlaku. Memandangkan kemoterapi boleh memberi kesan kepada telur (ova) dan sperma maka kehamilan tanpa dirancang adalah tidak digalakkan baik bagi pesakit wanita, pesakit lelaki atau pasangan. Maka kaedah cegah hamil yang sesuai perlu digunapakai. Sekiranya kehamilan berlaku, pesakit perlu berbincang dengan doktor secepat mungkin.
  • Pil perancang keluarga / cegah hamil mungkin diberikan kepada pesakit wanita muda bukan sahaja bertujuan untuk mencegah kehamilan tetapi juga untuk melindungi ovari daripada kesan sampingan ubat kemoterapi.
 Sumber:http://www.myhealth.gov.my/myhealth/index.php/en/dewasa/01penyakit0102disease02/01kanser0102cancer02
Semakan Akhir : 22 April 2008
Penulis : Dr. Gerard Lim Chin Chye      

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hosted Desktop