Khamis, 26 April 2012

Kesakitan & Analgesik

Kesakitan & Analgesik


Pengenalan

Kesakitan merupakan salah satu penyebab pesakit mendapatkan rawatan perubatan. Secara fisiologinya, rasa sakit adalah tindakan perlindungan secara semula jadi oleh badan atas kecederaan yang berlaku, yang mana boleh mengubah kualiti hidup pesakit. The Association of Study of Pain, telah mendefinisikan kesakitan sebagai deria yang tidak menyenangkan dan pengalaman emosi yang boleh dikaitkan dengan tisu yang rosak atau berpotensi untuk rosak atau digambarkan sebagai kerosakan.
Jenis-jenis Kesakitan
Kesakitan boleh dikelaskan sebagai kesakitan kronik dan kesakitan akut. Kesakitan akut biasanya disebabkan oleh kecederaan yang jelas dan berlarutan antara 1 hingga 3 bulan. Kesakitan yang berlarutan melebihi 3 bulan atau satu tempoh melebihi tempoh penyembuhan yang sepatutnya, dikelaskan sebagai kesakitan kronik.

Agen Farmakologi (Rawatan Kesakitan dengan Ubat Over the Counter/Ubat didispens dan NSAID)
Ubat-ubatan penahan sakit untuk rawatan ringan dan jangka pendek boleh diperoleh di farmasi atau di pasar raya tanpa preskripsi bergantung kepada jenis ubat. Ubat-ubatan ini dikenali sebagai ubat Over-The-Counter (OTC) digunakan bagi melegakan rasa sakit seperti kesakitan sendi, otot, kepala, senggugut dan demam. Ubat-ubatan analgesik jenis OTC ini biasanya selamat sekiranya digunakan secara betul. Kesan sampingan boleh berlaku dan kejadian boleh menjadi serius.
Terdapat 2 kelas utama ubat penahan sakit tanpa preskripsi yang boleh diperoleh dalam pasaran, iaitu ubat tahan sakit OTC seperti paracetamol dan Non Steroidal Antiinflammatory Drugs (NSAIDs) yang dikategorikan sebagai kumpulan C yang boleh dijual dengan syarat direkodkan dalam Buku Preskripsi.
Paracetamol
Paracetamol bertindak mengurangkan kesakitan dan demam dengan tindakan ke atas otak. Paracetamol dikategorikan sebagai ubat antifever (ubat demam) tetapi tanpa tindakan antiradang, dalam erti kata lain, paracetamol boleh bertindak sebagai ubat penahan sakit (analgesik) dan ubat demam pada masa yang sama. Paracetamol boleh dikatakan sebagai ubat penahan sakit yang selamat digunakan memandangkan paracetamol sesuai digunakan oleh kedua-dua pesakit dewasa dan kanak-kanak.
Amat penting bagi mengambil paracetamol tidak melebihi kekerapan atau kuantiti yang disyorkan pada bekas atau botol ubat. Walaupun pengambilan paracetamol adalah selamat dan boleh diterima baik, pengunaan secara berpanjangan dan berterusan dengan dos melebihi 3000mg/hari mungkin boleh menyebabkan kerosakan hati dan ginjal. Paracetamol juga tidak digalakkan diambil oleh pesakit yang mengambil alkohol secara sederhana atau kerap.
Ubat Antiradang bukan steroid (Non Steroidal anti inflammatory drugs, NSAIDs)
Ubat antiradang bukan steroid merupakan sejenis ubat yang merencat penghasilan prostaglandin dalam badan. Prostaglandin merupakan bahan semula jadi yang boleh menyebabkan demam, sakit dan bengkak atau radang. NSAIDs seperti ibuprofen dan naproxen bertindak sebagai antipyretic (merawat demam), antiradang dan analgesik (tahan sakit). Kesemua NSAIDs mempunyai risiko pendarahan dalaman usus, kesan advers yang melibatkan hati, ginjal dan sistem pendarahan.
Aspirin merupakan salah satu ubat yang biasa digunakan untuk merawat keradangan dan demam. Walau bagaimanapun, pendispensan aspirin kepada pesakit perlu mengambil kira kesesuaian sistem saluran penghadaman. Aspirin selalunya menyebabkan ketidakselesaan pada perut dan kerapkali menyebabkan loya dan muntah. Pemberian kepada pesakit yang diketahui menghidap nasal polyps, asma, masalah pendarahan dan ulser perut perlu dibuat dengan berhati-hati. Aspirin perlu dielakkan daripada pesakit yang mengambil ubat mencairkan darah seperti warfarin kerana boleh meningkatkan risiko pendarahan. Ini juga termasuklah pengambilan NSAIDs lain yang tidak mengandungi aspirin dan warfarin yang juga boleh meningkat kecenderungan untuk pendarahan.
NSAIDs yang memerlukan preskripsi
NSAIDs pada kebiasaannya mengurangkan rembesan prostaglandin ke dalam perut dan menyebabkan peningkatan risiko ulser perut. Selain NSAIDs yang tidak memerlukan preskripsi, terdapat juga sesetengah NSAIDs yang mempunyai kesan yang kurang pada perut. Walau bagaimanapun, pengambilan NSAIDs jenis ini memerlukan pengawasan daripada pegawai perubatan. NSAIDs ini termasuklah perencat COX-2 seperti celecoxib dan etoricoxib yang bertindak dengan menghalang laluan Cyclo Oxygenase (COX-2) yang menyumbangkan kepada rasa sakit.
Kesimpulan
Kesakitan boleh dirawat melalui pengubatan kendiri. Walau bagaimanapun, sekiranya kesakitan tersebut berlarutan sehingga 10 hari maka khidmat nasihat pakar diperlukan. Pendekatan rawatan sakit yang berkesan adalah berbeza mengikut individu dan tahap kesakitan. Sekiranya setelah mengambil ubat penahan sakit OTC dan sakit masih terasa, segera berjumpa doktor.
Baca dan patuhi arahan pengambilan dos yang terdapat pada label dan sisip bungkusan dengan teliti. Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan berkenaan rawatan, jangan teragak-agak untuk bertanya kepada doktor dan ahli farmasi.



Sumber:  http://www.myhealth.gov.my/myhealth/index.php/en/ubatdananda/01fakta-ubat0102drug-facts02/01kesakitan-a-analgesik0102pain-a-analgesics02
Semakan Akhir : 27 Mei 2011
Penulis : Siti Nurul Fathihah bt. Baharudin

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hosted Desktop